Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, beliau, selaku Perdana Menteri, yang memutuskan apa yang terbaik untuk rakyat, termasuk pembatalan projek Jambatan Indah bagi menggantikan Tambak Johor.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menarik balik keputusannya membatalkan projek jambatan tersebut, seperti yang dituntut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, Kabinet telah membincangkan mengenai projek itu secara teliti dan telah membuat keputusannya.

"Beliau (Dr Mahathir) boleh kata apa sahaja yang beliau suka. Saya Perdana Menteri, saya yang memutuskan apa yang terbaik untuk rakyat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan MSC Malaysia Cyber Centre di Johor Bahru semalam.

Sejak kebelakangan ini, Dr Mahathir telah mengkritik hebat pentadbiran Abdullah. Ahad lalu, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau akan berhenti mengkritik kerajaan sekiranya pembinaan Jambatan Indah diteruskan semula.

Menurut laporan Bernama, dalam pada itu, Abdullah juga mahu pembinaan kompleks bersepadu Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) disiapkan segera bagi mengatasi masalah trafik di Tambak Johor.

"Mereka (kontraktor) perlu menyegerakannya," katanya ketika mengulas permintaan Gerbang Perdana Sdn Bhd yang meminta lanjutan masa sehingga lima bulan untuk menyiapkan projek bernilai RM1.3 bilion itu.

Beri kesan

Bercakap di ibu negara semalam, Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu berkata, Gerbang Perdana menyasarkan projek itu akan hanya disiapkan pada 28 Februari 2007. Mengikut jadual asal, ia sepatutnya siap bulan depan.

Alasanya ialah disebabkan pembatalan pembinaan Jambatan Indah yang memberi kesan kepada kerja-kerja di Kompleks KIK, serta kelewatan mendapatkan kawasan tapak di Western Hub dan tempat letak kereta KTMB bagi JB Sentral.

Samy Vellu bagaimanapun berkata kontraktor itu masih belum membuat surat rasmi bagi memohon lanjutan tempoh itu dan kerajaan akan membuat keputusan selepas menerima rayuan rasmi itu.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian beliau, Abdullah berkata penggunaan ICT perlu diperluaskan kepada seluruh rakyat Malaysia jika kerajaan berhasrat melaksanakan program e-Kerajaan.

"ICT adalah untuk semua, bukan untuk golongan tertentu sahaja. Jika kita hendak melaksanakan e-kerajaan maka e-pengetahuan mesti diperluaskan kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Pada majlis itu, Abdullah turut menyampaikan geran permulaan sebanyak RM50,000 kepada lima syarikat berstatus MSC yang akan beroperasi di MSC Cyberport.

Setakat ini, sebanyak 34 syarikat telah memohon untuk mendapat taraf MSC.

Selain Menara MSC Cyberport di Johor Baharu, kerajaan negeri juga merancang membangunkan kawasan seluas 60 hektar di Kulai sebagai kawasan MSC Malaysia Cybercity bagi menampung perkembangan industri ICT di negeri itu pada masa depan.