Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan yang beliau cuba menjatuhkan kerajaan yang dikritikkan sejak kebelakangan ini.

Hujung minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz menuduh Dr Mahathir mahu menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang menggantinya selepas beliau meletak jawatan pada 2003.

Akhbar The New Straits Times memetik Dr Mahathir, 81, sebagai berkata beliau tidak berniat untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

"Saya tidak menubuhkan parti baru dan saya tidak berbuat apa-apa. Malah, saya tidak dibenar pun bercakap dengan (ahli) Umno," katanya.

Bekas perdana menteri itu juga menegaskan beliau akan terus mengkritik Abdullah yang didakwanya telah mengkhianati dan memungkiri janji dengan membatalkan projek-projek yang dimulakan sewaktu pentadbirannya, termasuk projek jambatan ke Singapura.

Bagaimanapun, Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau akan berhenti mengkritik sekiranya Abdullah meneruska projek pembinaan jambatan tersebut.

'Jangan pecahkan parti'

Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, pertikaian tersebut boleh memecahbelahkan parti yang mempunyai kira-kira tiga juta ahli itu.

"Jangan jatuhkan parti seperti tahun 1987," katanya merujuk kepada pemilihan parti di mana Dr Mahathir dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah ketika mempertahan jawatan Presiden Umno pada tahun berkenaan.

Sehubungan itu, beliau merayu kepada Dr Mahathir supaya jangan biarkan peristiwa yang sama berulang lagi demi kebaikan parti dan negara.

Rafidah berkata, suasana ekonomi sekarang sudah brerubah dengan keadaan yang tidak menentu seperti krisis di Timur Tengah serta kenaikan harga minyak, maka "kita mesti menguruskan ekonomi kita dengan baik'.

Usaha tersebut, katanya, memerlukan perhatian sepenuhnya para pemimpin negara dan ianya tidak seharusnya terganggu oleh perkara-perkara yang bukan isu.

AFP