Najib saran Tsu Koon bincang segera dengan Umno negeri
Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon disarankan supaya mengadakan rundingan dengan Umno negeri bagi membincangkan isu orang Melayu di negeri tersebut.
Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon disarankan supaya mengadakan rundingan dengan Umno negeri bagi membincangkan isu orang Melayu di negeri tersebut.
Malah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, perbincangan tersebut hendaklah diadakan segera mengenai rancangan tambahan yang dapat diambil oleh kerajaan negeri dalam membangunkan orang Melayu di Pulau Pinang.
"Baguslah kalau Dr Koh sendiri telah melahirkan pendapat sedemikian, yang pada saya menggambarkan kepekaan dia terhadap tuntutan Umno Pulau Pinang yang dilakukan menerusi Pergerakan Pemudanya," katanya dalam sidang akhbar.
Sebelum itu Najib merasmikan Sambutan Jubli Emas Jemaah Nazir Sekolah di Petaling Jaya hari ini.
Menurut Bernama, beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Koh hari ini yang dilaporkan mengakui usaha kerajaan negeri pimpinan parti Gerakan itu untuk membantu orang Melayu Pulau Pinang tidak mencukupi.
'Biar mereka berunding'
Ditanya sama ada beliau mengetahui mengenai masalah yang dihadapi oleh masyarakat Melayu di negeri tersebut, Najib berkata ia hanya diketahui oleh orang Melayu di Pulau Pinang.
"Biarlah mereka runding sesama mereka," katanya.
Minggu lalu, Pergerakan Pemuda Umno negeri itu mengusulkan agar jawatan Ketua Menteri digilirkan di kalangan parti komponen Barisan Nasional bagi membolehkan beberapa isu berbangkit khususnya mengenai nasib orang Melayu di sana diselesaikan.
Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata jawatan Ketua Menteri negeri itu tidak akan digilirkan.
Beliau sebaliknya meminta kerajaan negeri mengambil kira cadangan yang disuarakan oleh masyarakat Melayu Pulau Pinang bagi memelihara kepentingan mereka di negeri itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.