Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Undi percaya: Pemimpin Umno, DAP gesa Dewan Rakyat contohi DUN Perak

Undi percaya di DUN Perak hari ini menimbulkan gesaan agar undi seumpanya turut diadakan di parlimen.

Pemimpin Umno dan DAP menggesa agar undi percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diadakan bagi menjawab persoalan mengenai keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Mari kita selesaikan (isu keabsahan PN) ini," kata Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz kepada Malaysiakini.

"Walaupun kita telah mengalahkan (pembangkang) beberapa kali dalam perbahasan Belanjawan 2021, mereka masih mengatakan bahawa kerajaan tidak stabil.

"Jadi mari kita lakukan (undi percaya terhadap perdana menteri)," tambahnya.

Awal hari ini, Ahmad Faizal Azumu Bersatu digulingkan sebagai menteri besar Perak setelah 48 Adun mengundi menentangnya dalam usul undi percaya.

Hanya 10 Adun yang menyokongnya.

Undian itu dibenarkan oleh speaker Mohamad Zahir Abdul Khalid, dan disegerakan susulan usul dari Adun Umno dan DAP.

Dalam sidang media selepas itu, Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming berkata, speaker Dewan Rakyat Azhar Harun mesti mengikut contoh yang ditunjukkan oleh Dewan Undangan Negeri Perak.

"Sekiranya Perak dapat melakukannya, mengapa tidak Parlimen?

"Usul undi percaya melibatkan keabsahan kerajaan, harus mendahului urusan kerajaan (dalam Dewan Rakyat).

"Ini supaya Malaysia tidak lagi mempunyai kerajaan pintu belakang," katanya.

Azhar sebelum ini berkata bahawa sebarang usul peribadi ahli parlimen, termasuk usul undi percaya, hanya dapat dilakukan setelah kerajaan menyelesaikan urusannya di parlimen.

Dia sebaliknya menasihati anggota parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah - yang mendesak untuk usul tidak percaya itu dibahaskan - untuk meminta persetujuan menteri undang-undang Takiyuddin Hassan agar ia dibentangkan sebagai rang undang-undang kerajaan.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini turut menyarankan agar kerajaan melakukan demikian.

Ketika ditanya apakah undian itu akan diadakan pada sesi Parlimen berikutnya pada hari Isnin, Nazri mengatakan ia harus diputuskan oleh pucuk pimpinan.

"Tetapi bagi saya, mengapa tidak?" katanya.

Dia juga menyatakan keyakinan bahawa semua 112 anggota Parlimen dalam kerajaan sekarang akan terus menyokong Muhyiddin.

"Di peringkat persekutuan kita teguh," katanya.

Dia mengatakan bahawa keputusan untuk menggulingkan Faizal di Perak tidak ada kaitan dengan persekutuan, tetapi menyatakan bahawa ia melibatkan ketidakpuasan hati Umno terhadap Faizal.

Pemimpin Umno yang lain, bagaimanapun, kelihatan kecewa dengan Putrajaya ketika ini - atas syarat yang ditetapkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mengenai skim i-Sinar untuk pengeluaran Akaun 1.

Secara amnya, pencarum KWSP yang ingin membuat pengeluaran mesti kehilangan sumber pendapatan mereka atau membuktikan bahawa jumlah pendapatan mereka telah menurun sebanyak 30 peratus sejak 1 Mac.

Pengeluaran diberikan secara berperingkat selama maksimum enam bulan. Maksimum yang boleh dikeluarkan pada pembayaran pertama adalah antara RM5,000 hingga RM10,000, bergantung pada kelayakan.

Pemimpin Umno yang mengkritik hal ini mengatakan syarat dan mekanisme itu terlalu ketat untuk membantu rakyat.

Pengeluaran Akaun 1 KWSP telah diperluas oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz minggu lalu.

Ia susulan gesaan Umno, yang memberi isyarat bahawa mereka mungkin tidak menyokong Belanjawan 2021 jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Difahamkan, pemimpin Umno akan segera bertemu dengan Zafrul bagi membincangkan skim i-Sinar.

Lihat Komen
ADS