Alat ventilator terbakar ketika pesakit dirawat di hospital KK
Sebuah alat bantuan pernafasan (ventilator) yang ditempatkan di High Dependency Unit (HDU) di Hospital Queen Elizabeth II di Kota Kinabalu, Sabah terbakar tengah hari tadi semasa digunakan oleh seorang pesakit.
Malaysiakini difahamkan jururawat yang bertugas segera memadamkan kebakaran dengan alat pemadam api dan mematikan bekalan oksigen untuk mengelakkan letupan.
Api berjaya dikawal ketika pihak bomba dan penyelamat tiba. Bagaimanapun tidak ada kecederaan atau kematian dilaporkan.
Ketika dihubungi, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sabah, Kamarul Zaman Malik Abdullah mengesahkan kejadian itu.
"Itu hanya api kecil yang melibatkan mesin ventilator, tiada kerosakan," katanya.
Insiden itu dipercayai merupakan kebakaran kedua yang dilaporkan tahun ini.
Pada Jun lalu kebakaran dilaporkan berlaku di wad di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru yang memaksa pesakit dipindahkan.
Kebakaran bermula di sebuah katil di wad dan merebak ke siling, namun tidak ada kematian atau kecederaan dilaporkan.
Pada 2016, enam pesakit meninggal dunia dalam kebakaran di HSA yang berpunca daripada kerosakan peranti elektronik (capacitor) dalam salah satu lampu siling wad berkenaan.

