Seksyen makanan tidak halal di cawangan baru sebuah pasar raya di Puncak Alam ditutup susulan bantahan Adun Jeram Mohd Shaid Rosli terhadap penjualan alkohol.

Dalam siaran di Facebook, Mohd Shaid berkata dia telah menghantar memorandum kepada pihak pengurusan Jaya Grocer di Eco Grandeur, Puncak Alam, untuk membantah penjualan alkohol di pasar raya berkenaan.

Dia turut berkongsi beberapa gambar yang menunjukkan pintu masuk ke seksyen makanan tidak halal di pasar raya itu di tutup.

Dia juga berkongsi salinan memorandumnya yang menyatakan beberapa faktor untuk bantahan itu, termasuk "menghormati sensitiviti 90 peratus penduduk masyarakat Islam yang tinggal di kawasan Bandar Puncak Alam".

Shaid Rosli mendakwa dia bertindak atas aduan sekurang-kurangnya tiga persatuan penduduk, termasuk di kawasan yang menyaksikan peningkatan jenayah sosial berkaitan dengan alkohol dan keretakan hubungan keluarga.

"Atas kerjasama yang mereka berikan kepada kita, bolehla kita sokong dengan membeli-belah dari sana," katanya dalam keterangan yang disertakan dalam siaran Facebook itu.

Mohd Said merupakan bekas pemimpin Bersatu dan kini bersama parti Pejuang yang diterajui bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Salam Semua. Saya Telahpun Menghantar Memorandum Kepada Pengurus Operasi Jaya grocer Cawangan ECOWORLD Bandar Puncak...

Posted by Shaid Rosli on Thursday, 3 December 2020

 

"Ini Puncak Alam. Ini kawasan Melayu," katanya dalam catatan Facebooknya semalam.

Langkah Jaya Grocer untuk menutup seksyen tidak halal mendapat reaksi balas daripada sesetengah pelanggan yang mempersoalkan sama ada pihak pengurusan mendiskriminasi pelanggan bukan Islam.

"Terima kasih kerana membangkitkan masalah ini. Yakinlah bahawa masalah anda telah didengar.

"Harap ikuti perkembangan dan kami akan terus memberitahu anda mengenai perubahan yang akan datang melalui media sosial," kata Jaya Grocer dalam catatan Facebooknya hari ini.

Sementara itu, Mohd Shaid dalam catatan Facebooknya hari ini mengatakan penjualan alkohol tidak akan dibenarkan di Puncak Alam.

Dia berkongsi satu lagi nota bantahan yang dihantar ke sebuah pasar raya Econsave.

Bagaimanapun, tidak akan ada larangan penjualan di tiga kawasan lain iaitu di Bandar Sri Coalfield, Sg Sembilang dan Sg Buloh Sasaran.