Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'UPSR mungkin takkan ada selama-lamanya'
Diterbitkan:  Dec 5, 2020 4:16 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Cadangan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kini berada dalam peringkat akhir kajian Kementerian Pendidikan (KPM).

Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya berkata keputusan muktamad mengenainya juga akan diumumkan tidak lama lagi sebaik sahaja perincian kajian selesai sepenuhnya.

"Kemungkinan besar tidak akan ada lagi UPSR pada tahun hadapan dan selama-lamanya... kemungkinan besar kumpulan murid yang menduduki UPSR pada tahun lalu adalah yang terakhir.

"Kementerian sekarang pada peringkat akhir membuat kajian mengenainya dan insya-Allah akan membuat keputusan muktamad tidak lama lagi," katanya yang dipetik HMetro.

Muslimin berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan anugerah pelajar cemerlang UPSR 2019 Parlimen Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka, hari ini.

Mengulas lanjut, Muslimin bagaimanapun berkata, KPM tidak membuat kajian sama ada perlu menggantikan UPSR dengan ujian lain yang fungsinya sama dengan UPSR.

Sebaliknya, Muslimin berkata, pencapaian akademik murid tahun enam akan dinilai melalui pentaksiran sepanjang masa, ujian esei dan temu duga bagi membolehkan mereka ditempatkan di lima jenis sekolah khusus.

"UPSR adalah ujian penilaian dan ia boleh dibuat dengan kaedah lain seperti pentaksiran sepanjang masa yang lebih asli dan berterusan sifatnya serta membuka peluang yang lebih luas kepada lebih ramai murid," katanya.

15 April lalu, KPM mengumumkan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.

Pada Jun lalu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim, dilaporkan berkata, kira-kira 400,000 pelajar dijangka memohon menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) pada September hingga Oktober lalu bagi penempatan ke lima jenis sekolah khusus.

Ia membabitkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).

Bagaimanapun, PKSK tidak membabitkan kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kerana institusi itu mempunyai instrumen sendiri pemilihan murid, iaitu Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM).

Lihat Komen
ADS