Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Annuar: 'Kita keliru siapa teman, siapa lawan'
Diterbitkan:  Dec 6, 2020 2:22 PM
Dikemaskini: 6:46 AM

"Sebahagian dari kita keliru siapa teman, siapa lawan, siapa (kafir) zimmi siapa harbi, siapa sejati, siapa munafik, yang mana kepentingan nasional, yang mana agenda personal," kata Setiausaha Agung BN, Annuar Musa.

Mengulas lanjut, Annuar berkata usaha menyatukan Melayu adalah satu pemikiran di luar kotak dengan mengerahkan seluruh kekuatan pemikiran politik, sebelum menjayakannya.

"Usaha penyatuan Melayu dan Muafakat Nasional (MN) adalah satu pemikiran luar kotak yg telah mengerah seluruh kekuatan pemikiran politik,sebelum menjayakannya.

"Sementara keputusan MN bersetuju membentuk Perikatan Nasional (PN) juga melalui proses yang sama. Kedua-duanya telah membuahkan hasil yang bukan kecil buat orang Melayu,umat islam dan negara keseluruhannya.

"Kita tahu pihak musuh telah mengerah seluruh kekuatannya dari dalam dan luar untuk gagalkan permuafakatan ini. Jarum halus mencucuk sana sini termasuk di alam maya," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Meskipun tidak menyentuh tentang krisis kerajaan Perak, tulisan Annuar dipercayai merujuk kepada kemelut politik semasa yang melanda negeri itu.

Hubungan Umno dengan rakan sekutunya dalam PN dan MN ketika ini goyang apabila Ahmad Faizal Azumu yang juga timbalan presiden Bersatu tewas dalam usul undi percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat lalu.

Sejurus selepas itu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mengumumkan yang parti itu tidak akan menyertai pembentukan kerajaan baru Perak.

Sementara itu, Annuar berkata situasi politik kini adalah usaha pihak lawan untuk melemahkan penyatuan yang terbina sebelum ini.

"Kini mereka menghidu kejayaan menjelang PRU15...

"Insya- Allah akan bangkit satu saf yang menegakkan perjuangan dan kebenaran. Dasar parti dan piagam permuafakatan perlu dipertahankan," katanya.

Annuar sebelum ini turut berhadapan sasaran kritikan rakan partinya, malah ada yang menuduhnya sudah menjadi 'jurucakap Bersatu' di dalam Umno.

Antaranya Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed yang mendakwa akar umbi Umno sebenarnya 'sudah muak' dengan Annuar Musa.

Kata Nur Jazlan, tindakan pengurusan Umno melantik Ahmad Maslan sebagai setiausaha agung Umno untuk menggantikan Annuar, baginya merupakan satu isyarat penolakan pemimpin dan ahli Umno terhadap Annuar.

Kenyataan setiausaha agung Umno itu juga sering kali dipertikai di dalam partinya sendiri. Misalnya, apabila Annuar memaklumkan PAS bertegas supaya Umno mesti turut menjadi rakan sekutu dengan Bersatu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi kemudian mengatakan kenyataan itu sebagai "tidak tepat."

Terdahulu, Annuar memaklumkan Umno tidak lagi ada pilihan untuk bertanding dalam PRU akan datang hanya bersama PAS sebagai sekutu, seperti rancangan awalnya dahulu.

Lihat Komen
ADS