Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dewan Rakyat dijangka sentuh isu tulisan Jawi, hutang negara hari ini

Isu berkaitan kesinambungan tulisan Jawi dan kedudukan hutang semasa negara merupakan antara perkara dijangka dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Sabri Azit (PAS-Jerai) meminta Menteri Kanan Pendidikan untuk menyatakan kesinambungan tulisan Jawi yang ditiadakan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia sedangkan kursus-kursus berkaitan Jawi disediakan di peringkat Institusi Pengajian Tinggi.

Isu berkaitan hutang negara pula bakal dibangkitkan menerusi soalan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan bagaimanakah kedudukan hutang semasa negara dan nisbah hutang negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dalam sesi soal jawab lisan itu juga, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan status terkini penyediaan vaksin Covid-19 bagi Malaysia, dan bilakah ia dijangka mula diberi kepada rakyat.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada sesi perbahasan dan penggulungan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa melibatkan tiga lagi kementerian mengikut giliran seperti yang dijadualkan.

Tiga kementerian berkenaan ialah Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan berkenaan akan berlanjutan selama 10 hari sehingga 15 Dis ini, sementara Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 29 hari sehingga 17 Dis.

- Bernama

Lihat Komen
ADS