Majlis Peguam mahu kjaan siasat krisis kehakiman 1988
Majlis Peguam mahu kerajaan menyiasat krisis kehakiman yang berlaku pada tahun 1988 yang didakwanya telah menjejaskan kebebasan badan kehakiman di negara ini.
Majlis Peguam mahu kerajaan menyiasat krisis kehakiman yang berlaku pada tahun 1988 yang didakwanya telah menjejaskan kebebasan badan kehakiman di negara ini.
Presidennya, Yeo Yang Poh berkata satu siasatan yang adil dan terperinci perlu dilakukan terhadap perkara tersebut yang telah mengakibatkan pemecatan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abbas dan dua orang hakim lagi.
"Sistem kehakiman kita tidak lagi seperti sebelumnya. Inilah masanya untuk memperbetulkan kesilapan yang lalu. Kita boleh memulihkan kerosakan tersebut, tetapi hanya jika bersedia untuk berdepan dan membetulkan kesilapan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 1988, Salleh (foto) digantung dari jawatannya oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad. Salleh kemudiannya dipecat selepas didapati bersalah terhadap tuduhan salahlaku oleh tribunal enam orang hakim, termasuk hakim dari Singapura dan Sri Lanka.
Yeo menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu 'kesilapan besar' yang telah merosakkan demokrasi dan keutuhan undang-undang serta telah mengakibatkan pemecatan tiga hakim utama.
"Hakim-hakim ini, dalam menegakkan kebebasan mereka, telah dikorbankan oleh mereka di sebalik ribut politik ketika itu dan (oleh itu), nama baik mereka mesti dikembalikan.
"Jika kebebasan kehakiman boleh dimusnahkan begitu sekali, dan jika mereka yang terbabit atau dibenarkan melakukan kerosakan tersebut dibiarkan begitu sahaja selama-lamanya, maka tidak banyak yang boleh diharapkan oeh masyarkat terhadap (bidang) kehakiman," katanya.
Dalam bukunya yang bertajuk "May Day for Justice", Salleh menegaskan bahawa beliau telah dipecat kerana keengganannya untuk mematuhi desakan Dr Mahathir supaya bersara atau meletakkan jawatan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.