Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kerjasama Umno-DAP perkembangan baik politik etnik'

Penganalisis politik melihat perkembangan dan desas-desus kerjasama Umno dan PH, khususnya DAP, sebagai perkembangan baik dalam aspek politik etnik di Malaysia jika ia menjadi kenyataan.

Pensyarah Universiti Malaya, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ia merupakan perkembangan baik untuk politik negara dan mencerminkan betapa politik etnik perlu diharmonikan dengan meraikan kepelbagaian.

"Justeru wajar dilangsungkan sebagai jajaran baru politik Malaysia yang lebih dinamik sesuai dengan realiti etnik yang ada di malaysia.

"Malaysia merupakan negara yang terdiri pelbagai etnik dan wajah politik Malaysia juga perlu menggambarkan populasi kaum yang sebenar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Dia berkata pada masa lalu, MCA merupakan wakil masyarakat Cina dari segi penyertaan politik tetapi ia tidak lagi berlaku.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan DAP Perak sedia untuk bekerjasama dengan Umno dalam penubuhan kerajaan baru Perak demi "kepentingan rakyat" dan bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil.

Ia susulan kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahidi Hamidi yang mengesahkan parti itu berbincang dengan semua pihak, termasuk PH, mengenai perkara itu dan tidak menolak jajaran baru politik dalam pentadbiran di Perak.

Awang Azman berkata, desas-desus kerjasama Umno dan DAP di perak merupakan dinamika politik yang menunjukkan perubahan dalam politik berasaskan kaum dan ia wajar dialu-alukan.

Dia berkata tiada sebab perkara itu tidak boleh direalisasikan, memandangkan PAS dan Bersatu juga pernah bekerjasama dengan DAP sebelum ini.

"(Sama seperti DAP), Gerakan dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pernah menjadi parti pembangkang tegar sebelum bersama BN. Tidak salah jajaran baru sekali lagi berlaku di dalam politik Malaysia," katanya.

Katanya lagi, DAP yang dilihat mewakili masyarakat Cina perlu disertakan agar masyarakat itu diwakili dalam kerajaan dengan jelas.

"Yang penting sekarang ialah bergerak ke hadapan untuk menstabilkan politik negara, memulihkan ekonomi semasa dan mendapat keyakinan rakyat untuk melaksanakan pembangunan dengan lebih baik," jelasnya.

Lihat Komen
ADS