DAP tangguh pemilihan sehingga 6 bulan
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) memberikan kebenaran kepada DAP untuk menangguhkan kongres nasional dan pemilihan parti itu sehingga enam bulan, kata setiausaha penganjur DAP Anthony Loke.
Anthony berkata kongres itu pada mulanya dijadualkan pada 20 Dis di Shah Alam, tetapi ditunda ke tarikh yang akan ditetapkan kelak sebelum 30 Jun 2021.
"Namun, proses pencalonan untuk pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) telah selesai dan senarai calon telah dimuktamadkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Senarai itu menunjukkan sejumlah 86 calon bersaing untuk merebut 30 jawatan dalam CEC.
DAP pada mulanya diminta mengadakan kongres partinya selewat-lewatnya akhir tahun ini, tetapi meminta ia ditangguhkan berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 selepas pilihan raya negeri Sabah pada bulan Sept lalu.
Loke sebelum ini berkata kongres parti itu melibatkan hampir 4.000 perwakilan dari seluruh negara, yang perlu hadir secara fizikal untuk proses pengundian.

