Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk didaftar sebagai sebuah parti politik.

Permohonan parti itu sebelum ini telah ditolak oleh kerajaan dengan atas alasan keselamatan negara.

Perayu, Pengerusi penaja PSM, Dr Nasir Hashim, memohon untuk mengetepikan arahan Menteri Dalam Negeri yang menolak permohonan pendaftaran parti tersebut dan memohon pihak mahkamah mengarahkan supaya pendaftaran dibuat dalam tempoh tujuh hari.

Dalam kes ini, yang berlanjutan selama lapan tahun, merupakan yang pertama di mana sebuah parti politik memohon semakan kehakiman terhadap tindakan kerajaan menolak permohonan pendaftaran.

Kes ini didengar oleh Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Hashim Yusoff.

Sri Ram menolak permohonan itu dengan kos. Menurutnya, keputusan menteri berkenaan menolak pendaftaran PSM di peringkat nasional dikekalkan.

Hakim berkenaan berkata, beliau berpuas hati dengan dasar Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung syarat pendaftaran sebuah parti politik di peringkat nasional.

ROS menetapkan parti politik yang mahu didaftarkan di peringkat nasional mesti mempunyai wakil sekurang-kurangnya di tujuh buah negeri. Jika tidak mencapai jumlah tersebut, ia hanya didaftarkan sebagai parti politik di peringkat negeri sahaja.

Berhubung hujah kerajaan bahawa pendaftaran sebuah parti sebagai sebuah parti sosialis akan menggugat keselamatan negara, Sri Ram menolak hujah itu dengan berkata; " Soal keselamatan negara tidak timbul langsung."

Hakim itu juga menegaskan, tidak berlaku sebarang ketidakadilan dalam penolakan pendaftaran PSM.

"ROS membenarkan PSM didaftarkan di Selangor. Sebagaimana nasihat yang dikeluarkan oleh peguam kedua-dua pihak, arahan ROS itu tidak menghalang PSM bertanding di peringkat pilihanraya nasional," jelasnya.

Para penyokong PSM yang hadir mahkamah kecewa apabila mendengar Sri Ram membaca penghakiman 34 muka surat itu. Berita asal