Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lepas guling MB, Umno mahu 'damai' dengan Bersatu
Diterbitkan:  Dec 8, 2020 9:50 PM
Dikemaskini: 1:50 PM

Di tengah-tengah kemelut politik di Perak, Umno membuka jalan untuk berdamai dengan Bersatu supaya meneruskan kerajaan Perikatan Nasional di negeri itu.

Ini beberapa hari selepas Adun Umno tidak mengundi menyokong usul percaya Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang juga timbalan presiden Bersatu.

Lantaran itu, Faizal mengundurkan diri daripada jawatan menteri besar pada Sabtu lalu.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata dia telah menulis kepada rakan sejawatnya dalam Bersatu dan PAS awal hari ini agar mempertahankan kerajaan PN di Perak.

"Saya telah menghantar surat rasmi kepada Setiausaha Agung PAS (Takiyuddin Hassan) dan Setiausaha Agung Bersatu (Hamzah Zainudin) pada Selasa 8 Dis 20 berhubung keputusan mesyuarat khas MT Umno malam 7 Dis 20.

"Bahawa kerajaan PN yang terdiri daripada Adun Umno, PAS dan Bersatu di Perak perlulah diteruskan," katanya pada ciapan di Twitter.

Ahmad Maslan berkata kedua pemimpin itu telah menjawab suratnya pada petang hari ini.

"Intipati jawapan surat setiausaha agung PAS dan setiausaha agung Bersatu ialah keputusan berhubung kerajaan PN di Perak akan dibincang dengan pimpinan parti mereka dengan segera.

"Saya optimis dan positif. Semoga PAS dan Bersatu akan bersama Umno di Perak. Diharap segalanya akan selesai dengan baik dalam sedikit masa lagi," katanya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, mengadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pagi ini.

Zahid berkata Umno yakin mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri berikutnya, yang akan turut melibatkan PAS dan Bersatu.

Bagaimanapun, sumber memberitahu Malaysiakini Bersatu Perak masih belum memutuskan sama ada akan menyokong Umno atau tidak untuk membentuk kerajaan negeri baru.

Lihat Komen
ADS