Tun Salleh membisu terhadap cadangan Majlis Peguam
Bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas hanya membisu mengenai cadangan Majlis Peguam supaya kajian menyeluruh dijalankan terhadap penyingkiran tiga orang hakim terulung negara hampir 20 tahun lalu.
Bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas hanya membisu mengenai cadangan Majlis Peguam supaya kajian menyeluruh dijalankan terhadap penyingkiran tiga orang hakim terulung negara hampir 20 tahun lalu.
Ketika ditemui pemberita, bekas hakim yang sentiasa mengelak daripada perhatian media itu berkata, beliau belum membaca cadangan Majlis Peguam itu dan oleh itu tidak mempunyai apa-apa komen.
"Biar saya membacanya terlebih dahulu...saya belum membaca laporan itu," kata Salleh selepas melancarkan as-Salihin Trustee Bhd, sebuah firma perancangan hartanah secara Islam di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut laporan Bernama, Tribunal Kehakiman yang ditubuhkan di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan pada 1988 telah memutuskan untuk memecat tiga hakim kerana salahlaku iaitu Salleh dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk George Seah dan Datuk Wan Suleiman Pawanteh.
Semalam, presiden Majlis Peguam Yeo Yang Poh dalam kenyataannya menggesa supaya kajian menyeluruh terhadap penyingkiran ketiga-tiga hakim itu dilaksanakan dan menyifatkan penyingkiran itu sebagai "hari paling muram dalam sistem kehakiman Malaysia" semasa kepimpinan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.
Yeo berkata, penilaian semula secara adil terhadap serangan terhadap sistem kehakiman oleh badan Eksekutif ketika itu adalah perlu bagi memulihkan penghormatan para hakim.
Kenyataan Majlis Peguam itu timbul ketika Dr Mahathir sedang melemparkan pelbagai dakwaan dan kritikan lantang terhadap penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Majlis Peguam itu berkata, kritikan berterusan oleh Dr Mahathir terhadap pentadbiran kerajaan masa kini telah menyalakan semula perbincangan pelbagai perbuatan dan kesalahan kerajaan dalam tempoh lebih dua dekad di bawah bekas pemimpin negara itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.