Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan mudir sekolah di Machang disyaki rogol pelajar

Polis Kelantan menahan seorang pengetua atau mudir sebuah sekolah menengah agama di Machang, hari ini, yang dipercayai merogol seorang pelajar berusia 15 tahun sejak mangsa berusia 13 tahun lagi.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata, suspek ditahan pada jam 6.30 pagi tadi di rumahnya yang terletak di daerah itu.

"Suspek berusia 45 tahun merupakan seorang pengetua di sekolah menengah agama dan sudah berkahwin, manakala mangsa seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun.

"Siasatan awal mendapati modus operandi digunakan oleh susupek dengan mengajak mangsa ke sekolah pada waktu tertentu, iaitu ketika ketiadaan orang lain di sekolah termasuk pada hari cuti.

"Perkara ini berlaku sejak mangsa berusia 13 tahun iaitu pada tahun 2017 ," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, hari ini.

Shafien berkata, suspek berhubung secara langsung dengan mangsa tanpa diketahui oleh keluarga mangsa.

Katanya, laporan polis dibuat oleh keluarga mangsa apabila perkara itu menjadi buah mulut di kalangan keluarga.

"Pihak polis kini dalam proses untuk mendapatkan perintah reman terhadap suspek di Mahkamah, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.


Lihat Komen
ADS