Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mengutus surat terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung penjualan rangkaian pusat perubatan Pantai Holdings Berhad kepada firma Singapura Parkway Holdings Ltd.

Surat tersebut turut menyentuh isu penggabungan ECM-Libra dengan Avenue Capital, urusniaga Scomi Berhad, milik anak Abdullah Kamaluddin dan penglibatan menantu Perdana Menteri Khairy Jamaluddin dalam perniagaan.

Hujung minggu lalu, Khairy telah menjual keseluruhan sahamnya dalam ECM-Libra yang bernilai lebih RM9 juta ekoran timbulnya banyak kontroversi berhubung perkara tersebut.

Husam memberitahu malaysiakini, surat tersebut difaks dan dipos kepada pejabat Perdana Menteri semalam.

Dalam surat tersebut, Husam membangkitkan kekeliruan berhubung kenyataan Abdullah dalam isu penjualan Pantai Holdings Berhad kepada firma Singapura, Parkway Holding Ltd.

Katanya, laporan Berita Harian pada 14 Ogs lalu memetik Abdullah sebagai berkata kerajaan mengkaji untuk mengembalikan semula penguasaan rakyat tempatan dalam syarikat konsesi membekalkan keperluan hospital di negara ini ekoran penjualan 31 peratus kepentingan Pantai Holdings Bhd kepada firma Singapura, Parkway Holdings Ltd.

Husam berkata, dalam laporan itu juga Abdullah dipetik sebagai berkata: "Jadi (berikutan penjualan saham dalam Pantai Holdings), konsesi telah terlepas ke tangan orang lain dan (kerajaan) mengharapkan ia akan kekal pada pihak Malaysia, akan dipegang oleh rakyat Malaysia. Jadi perkara ini dalam perhatian pihak Perbendahaan".

Timbul kekeliruan

Naib Presiden PAS itu berkata, pihaknya agak keliru dengan pendirian Abdullah itu kerana dalam wawancara khasnya di TV3 pada 7 Ogos lalu, beliau berkata tidak ada mana-mana entiti perniagaan negara telah terlepas kepada pihak asing.

Husam berkata, beliau juga pernah menulis surat kepada YAB mengenai perkara yang sama pada 28 Disember 2005 di mana beliau meminta penjelasan Menteri Kewangan mengapa memberikan kelulusan terhadap penjualan 31 peratus saham Pantai Holdings kepada Parkway.

Katanya, isu tersebut, telah dari masa ke semasa, dibangkitkan oleh pelbagai pihak dan dilaporkan oleh akhbar-akhbar utama, selain laman-lamanweb.

Malah, katanya, Menteri Kesihatan sendiri dilaporkan telah membangkitkan bangkangannya seperti yang dilaporkan oleh akhbar Malay Mail.

"Akhbar-akhbar juga telah melaporkan perkembangan perubahan lima dari tujuh ahli Lembaga Pantai sebaik sahaja pengambilalihan tersebut dan di bawah Practice Notes 2.4 for the Malaysian Code on Take-Overs and Mergers.

"Sesebuah syarikat itu dianggap telah berada di bawah pengurusan baru jika lebih dari separuh ahli lembaganya bertukar tangan kurang dari tempoh setahun kemasukan pemegang saham baru dan saya yakin YAB sedar sepenuhnya hal ini," katanya.

Penjualan pegangan

Menurut Husam lagi, semua transaksi penjualan pegangan kepada pihak asing mesti mendapat persetujuan dan kelulusan Abdullah selaku Menteri Kewangan atau paling kurang dimaklumkan kepada beliau.

Katanya, kelulusan perpindahan kepentingan kepada syarikat asing ini berlaku pada masa Abdullah sudah menjadi Perdana Menteri dan pada masa yang sama, menjawat jawatan Menteri Kewangan.

"Ia tidak berlaku sebelumnya, bahkan semasa YAB sudah memgegang teraju utama negara, sama dengan kes-kes penjualan kepentingan Malaysia yang lain kepada Singapura, seperti 5 peratus pegangan dalam Telekom pada Mac 2004, di mana ECM Libra adalah financial advisorynya.

"Juga pembelian 5 peratus kepentingan dalam Proton oleh Government of Singapore Investment Corp. pada tahun yang sama," tambahnya.

Husam mempersoalkan mengapa pada waktu itu Abdullah memberikan persetujuan dan sekarang beliau bercadang mengambilalihnya semula.

Lebih menyedihkan lagi, tegas Husam, penjualan saham Pantai kepada pihak Singapura sebanyak 31 peratus itu, bercanggah dengan garispanduan penggabungan dan pengambil alihan milik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri sendiri bertarikh 21 Mei 2003 lagi.

Tambahnya, dua anak syarikat Pantai Fomema dan Medivest terlibat dengan konsesi penswastaan dan mengikut garispanduan penswastaan, ianya tidak boleh diizinkan bertukar milik kepada pihak asing, tetapi ia telah berlaku.

Percanggahan kepentingan

"Saya selaku rakyat juga ingin tahu kedudukan yang sebenar dalam isu ini dan YAB boleh melakukannya menerusi Dewan Rakyat dalam sidang yang terdekat," tambahnya.

Dalam suratnya itu, Husam juga menyentuh tentang isu percanggahan k epentingan yang mungkin wujud di antara kedudukan Abdullah selaku Menteri Kewangan dengan kepentingan perniagaan anak dan menantunya.

Katanya, walaupun Khairy telah melepaskan pegangannya dalam ECM Libra, tetapi syarikat milik kerajaan Avenue Capital dengan aset diuruskannya bernilai hampir RM4 bilion, termasuk pegangan dalam Pos Malaysia dengan tunai melebihi RM 600 juta sudah berada dalam peringkat akhir penggabungan dengan syarikat yang pada waktu itu, Khairy adalah salah seorang pemegang sahamnya.

"Setakat saya mengikuti perkembangannya melalui akhbar, ada kenyataan-kenyataan yang membawa impak bahawa pengurusan entiti yang baru selepas penggabungan akan dipegang oleh pihak ECM Libra. Ini bermakna syarikat milik kerajaan akan terlepas pengurusannya kepada pihak di luar kerajaan.," katanya.

Husam juga menyentuh tentang laporan-laporan akhbar mengenai kejayaan Scomi memperolehi pelbagai kontrak.

"Adalah sukar untuk memahami bagaimana perolehan kontrak tersebut tiada kaitan dengan kedudukan YAB selaku Perdana Menteri," tambahnya.