Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saarani tak harus lihat kami hendak jatuhkan dia - Aziz Bari
Diterbitkan:  Dec 10, 2020 6:23 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Pembangkang di Perak berharap Menteri Besar yang baharu Datuk Saarani Mohamad dapat melaksanakan pentadbiran secara telus, selain memberi tumpuan kepada kehendak dan kepentingan rakyat.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Dr Abdul Aziz Bari berkata kedua-dua perkara itu tidak boleh dipandang mudah kerana ia menjadi cerminan dan tulang belakang kepada kestabilan sesebuah kerajaan yang dibentuk.

"Mudah-mudahan perkara itu akan menjadi faktor yang memudahkan atau membolehkan kami selaku pembangkang berurusan dengan beliau secara baik.

"Dia tak harus melihat kami sebagai orang yang seperti hendak menjatuhkan dia. Kita bersaing secara positif, sihat dan itu adalah kehendak rakyat pun. Rakyat nak satu pentadbiran yang baik," kata Naib Pengerusi DAP Perak itu ketika dihubungi Bernama di Ipoh, hari ini.

Saarani, 59, yang merupakan ADUN Kota Tampan mengangkat sumpah selaku Menteri Besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak Datuk Asmuni Awi berkata pelantikan Saarani diharap mampu menyelesaikan segala kemelut politik dan penumpuan perlu terarah kepada aspek pembangunan negeri.

Asmuni, yang merupakan Adun Manjoi, berkata beliau akan sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan sekiranya agenda berkenaan diberikan penumpuan.

"Saya yakin dalam sejarah baharu politik Malaysia terutamanya di Perak, beliau (Saarani) akan dapat melakukan perubahan dan sesuatu yang terbaik untuk rakyat," katanya.

Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak pula berkata semua pemimpin politik di Perak memberi penekanan terhadap titah Sultan Nazrin Shah yang antara lain menyeru supaya kemelut politik diselesaikan, dan semua pihak berusaha memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan dan memenuhi harapan rakyat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS