Malaysiakini
BERITA

Hadi mohon menghadap Sultan Nazrin, istana belum tetapkan tarikh

Ng Xiang Yi

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Dis 2020, 4:54 pagi

Presiden PAS Abdul Hadi Awang memohon menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Bagaimanapun, sumber yang rapat dengan istana memberitahu Malaysiakini bahawa belum ada tarikh yang ditetapkan.

Semalam, Hadi mengirim sepucuk surat ke istana untuk memohon menghadap Sultan Nazrin.

Surat yang turut dilihat oleh Malaysiakini itu menyatakan niatnya untuk memberitahu Sultan mengenai "situasi politik yang melibatkan PAS".

Ini berlaku setelah Adun PAS Perak tidak hadir untuk sesi menghadap yang dijadualkan dengan Sultan Nazrin pada hari Selasa lalu di tengah ketidaktentuan politik mengenai calon menteri besar yang baru.

Laman web berita The Vibes memetik sumber dekat kepada Hadi yang tidak disebutkan namanya sebagai berkata bahawa Hadi memohon menghadap Sultan untuk "memohon pengampunan".

PAS sebelum ini menjelaskan bahawa ia memutuskan untuk "menangguhkan" menghadap Sultan Nazrin kerana kepemimpinan pusat parti itu belum memutuskan sokongannya terhadap Adun Kota Tampan, Saarani Mohamad sebagai menteri besar Perak yang baru.

Ia menolak tuduhan bahawa ketidakhadiran itu merupakan tindakan derhaka terhadap sultan.

Setelah Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu digulingkan sebagai menteri besar minggu lalu, pimpinan PAS Perak pada mulanya mengumumkan tidak akan menyertai pembentukan kerajaan negeri yang baru.

Bagaimanapun, pendirian parti itu berubah setelah presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meminta maaf kepada Bersatu dan PAS atas tindakan menggulingkan Faizal sebagai menteri besar.

Perkembangan itu membuka jalan bagi Saarani untuk mengangkat sumpah sebagai menteri besar semalam.

Ini menandakan upacara mengangkat sumpah menteri besar Perak yang ketiga sejak pilihan raya 2018. Titah Sultan Nazrin, ia mencerminkan kegagalan dalam kepemimpinan.

Kumpulan pertama exco kerajaan negeri juga dilantik semalam - dianggotai oleh empat wakil Umno dan satu wakil Bersatu.

Walaupun PAS belum berada dalam barisan exco, Umno, PAS dan Bersatu mempunyai persetujuan mengenai pembahagian jawatan di kerajaan negeri.

Perlembagaan Perak membenarkan kerajaan negeri mempunyai 10 anggota exco.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.