Kerajaan patut menaikkan harga runcit gula sehingga 30 sen sekilogram kepada RM1.70 berbanding harga RM1.40 hingga RM1.45 sekilogram sekarang bagi membantu mengurangkan masalah kekurangan bekalannya .

"Salah satu sebab berlakunya kekurangan gula ialah kegiatan penyeludupan kerana bahan itu lebih murah di Malaysia berbanding dengan di negara-negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand," kata Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman.

"Harga runcit yang tinggi akan mengurangkan kegiatan penyeludupan kerana perbezaan harga yang tidak menguntung untuk diseludup," tambahnya.

Menurut laporan, harga runcit gula di Indonesia, Singapura dan Thailand ialah masing-masing RM2.40, RM2.05 dan RM1.90 sekilogram.

Persoalannya, tidakkah kenaikan harga gula, selepas kenaikan harga petrol dan elektrik, juga boleh mengakibatkan berlakunya kenaikan harga seterusnya seperti barangan makanan dan minuman?

Kurangkan penggunaan gula

Menurut Mohd Yusof, Fomca berpandangan bahawa pengeluar makanan dan minuman sepatutnya mengurangkan kandungan bahan gula dalam produk mereka dan oleh itu, tidak perlu menaikkan harganya.

"Fomca menyokong gesaan Kementerian Kesihatan supaya dikurangkan penggunaan gula dalam produk seperti minuman berkarbonat.

"Kita juga patut menggalakkan penggunaan gula dalam diet kita kerana gula merupakan salah satu punca utama masalah kegemukan dan kencing manis di kalangan rakyat Malaysia," tambahnya.

Fomca dan persatuan pengguna gabungannya di seluru negara telah menerima banyak aduan daripda pengguna mengenai kesukaran untuk membeli gula dan juga mengenai kouta had belian yang dikenakan oleh pasaraya.

"Sesetengah penjual dan pasaraya menghadkan jualan kepada dua kilogram sahaja bagi setiap pembelian, tetapi bagi mereka terbabit dalam perniagaan jualan kuih-muih dan minuman, ia tidak mencukupi," kata Mohd Yusof.

Kecewa dengan kementerian

"Kita kecewa dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Halehwal Pengguna kerana masalah kekurangan bekalan gula masih berterusan sejak April lalu dan sehingga ini tiada penyelesaian terhadap masalah tersebut," tambahnya.

Katanya, pada mulanya, pihak kementerian tidak menganggap serius masalah tersebut, walaupun gula merupakan barangan kawalan dan termasuk dalam Akta Kawalan Bekalan 1961 yang menjamin bekalan yang mencukupi.

Gula juga termasuk di bawah Akta Kawalan Harga 1946 yang menetapkan paras harga tertingginya.

"Jadi pihak kerajaan mesti berusaha sebaik mungkin untuk memastikan bekalan gula dan harganya kerana para pengguna dan sektor perniagaan terjejas teruk ekoran kekurangan bekalannya.

"Kita sedang memantau keadaan tersebut melalui persatuan gabungan kita, persatuan pengguna lain serta orang ramai dan melaporkannya kepada kementerian berkenaan.

"Adakalanya kementerian mengarahkan bekalan dihantar kepada kawasan yang menghadapi masalah bekalan, dan walaupun kita amat mengharga usaha tersebut, Fomca masih kecewa kerana masalah ini masih berterusan," tambahnya.

Pihak kementerian juga telah menyalahkan tindakan pemborong dan para peruncit yang menyorok gula kerana mengharap harganya akan dinaikkan, ekoran harga gula mentah yang tinggi di pasaran terbuka, dan menjadi punca utama kekurangan bekalan bahan itu sekarang.

"Walaupun pihak kementerian telah berusaha untuk mengambil tindakan terhadap pemborong dan peruncit yang tidak bertanggungjawab, usaha pemantauan dan penguatkuasaan itu masih perlu ditingkatkan lagi, kerana kita tidak mahu mereka mengaut keuntungan jika kerajaan menaikkan harga gula pada masa depan.

"Malah kinipengguna sendiripun menyoroknya, kerana bimbang tiada bekalan gula semasa musim perayaan, dan ini telah menyulitkan lagi masalah yang ada," kata Mohd Yusof. Berita asal

Semalam: Kekurangan gula: Hentikan monopoli 'raja' gula

Esok: Bertindak tegas terhadap penyeludup dan perbuatan sorok gula