Najib: Malaysia hantar askar ke Lebanon walau dibantah Israel
Malaysia tetap akan menghantar pasukan pengamannya ke selatan Lebanon di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) walaupun dibantah rejim Israel, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malaysia tetap akan menghantar pasukan pengamannya ke selatan Lebanon di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) walaupun dibantah rejim Israel, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata kehadiran pasukan pengaman dari Malaysia sangat dialu-alukan oleh Lebanon.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai pelancongan di Kuala Lumpur, Najib berkata beliau tidak faham mengapa kehadiran pasukan pengaman Malaysia ke sana perlu dihalang kerana masalah teknikal disebabkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan rejim Israel.
Menurut laporan Bernama, beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bantahan itu seperti yang dilaporkan oleh akhbar hari ini.
Malaysia, katanya mempunyai rekod perkhidmatan pasukan pengaman yang cemerlang.
Malah di Bosnia, pasukan pengaman Malaysia telah berkhidmat dengan cemerlang, katanya.
Ditanya sama ada pendirian Malaysia terhadap rejim Israel boleh mempengaruhi mutu perkhidmatan pasukan pengaman Malaysia ke Lebanon kelak, Najib berkata pasukan pengaman negara sentiasa berkhidmat secara profesional.
Beliau berkata Malaysia belum dimaklumkan oleh PBB mengenai bila pasukan pengaman negara ini akan dihantar ke sana.
PBB juga belum memaklumkan kepada Malaysia mengenai bantahan rejim Israel itu.
Rejim Israel dilaporkan membantah penyertaan tentera Malaysia dalam pasukan pengaman PBB di Lebanon atas alasan Kuala Lumpur tiada hubungan diplomatik dengan Tel Aviv.
Bantahan Israel itu dikatakan boleh menyukarkan usaha PBB menghantar pasukan pengaman ke selatan Lebanon bagi mengawasi gencatan senjata rejim Israel dan Hizbollah yang bermula Isnin.
Selain Malaysia, Indonesia dan Brunei adalah antara negara Islam yang menawarkan penghantaran sehingga 1,000 askar bagi pasukan pengaman berkenaan. Perancis turut memberi tawaran yang sama.
Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar yang berada di Beirut berkata, kata pemutus bagi pemilihan pasukan pengaman untuk memantau keadaan di Lebanon terletak di tangan PBB dan bukannya rejim Israel.
Majlis Keselamatan PBB Jumaat lepas sebulat suara menerima resolusi menggesa genjatan senjata.
Ia sekali gus memberi kebenaran kepada sehingga 13,000 anggota tentera bagi menambah lagi kekuatan 2,000 anggota Pasukan Pengaman Sementara PBB (UNIFIL) di Lebanon.

