Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Anwar kena pandai pilih 'penjaga tol' ke pejabatnya

Sudah dua tahun saya tidak ambil tahu mengenai perjalanan politik negara atau parti. Memang niat saya untuk tinggalkan politik ini kepada yang lain.

Kebelakangan ini ramai yang berhubung bertanya mengenai dakwaan Akmal Nasir yang kononnya menghina Anwar Ibrahim

Ini pandangan saya. Pandangan saya diketahui umum oleh reformis dan veteran parti.

Ramai juga yang tahu dan sedar yang ada beberapa kerat yang mengelilingi Anwar ini adalah opportunis haprak yang membawa budaya berbahaya dalam parti.

Mereka membawa budaya gangster dan politik wang menabur duit dan janji.

Saya pernah tegur Anwar sejak dua tahun lalu. Jadi teguran Akmal ada asasnya.

Anwar perlu pandai memilih orang di sekelilingnya yang menjadi 'penjaga tol' ke pejabatnya. Dulu pilih Azmin, tengok apa yang jadi.

Yang ada sekarang ni pun dua kali lima. Semasa kita berjuang dan keluar masuk lokap untuk membebaskan Anwar, dia tidak pernah ada pun.

Apabila sudah menang pada tahun 2018, berhari-hari dia berkampung di depan Hospital Cheras untuk mula menempel. Tiba-tiba menjadi pembela parti dan orang paling setia kepada Anwar, sedangkan tindak-tanduk mereka boleh menjatuhkan parti dan Anwar.

Sekarang mereka mula pula menyasarkan pimpinan seperti Akmal untuk diburukkan supaya mana-mana pimpinan yang boleh ada pandangan bebas dan kekuatan yang boleh mengancam mereka menjadi pembodek tegar; perlu disingkirkan dengan cara ini.

Orang tanya saya kenapa saya tidak berminat. Tidak kasihankah dengan Anwar Ibrahim?

Saya jenis yang tidak suka bercakap benda yang sama berulang-ulang. Kalau dah nasihat itu telah diberi dan nampaknya tidak berkesan, maka biarlah Anwar tanggung sendiri risiko menyimpan jenis-jenis opportunis di keliling beliau.

Saya nasihatkan kepada semua yang berhasrat menunggang parti ini demi kekayaan dan kedudukan peribadi - lebih baik jangan kacau saya.

Saya mungkin tidak berminat untuk turut serta; tapi saya masih benci jenis-jenis politikus yang banyak merosakkan nama baik politik. Dalam mana-mana parti, ada saja spesies ini.

Kalau spesies ini banyak buat kacau, boleh saja saya kacau balik.


RAFIZI RAMLI merupakan naib presiden PKR dan bekas ahli parlimen Pandan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS