Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS tak musuhi media cuma kadangkala diam lebih baik - Takiyuddin

Meskipun dilihat lebih banyak berdiam sekarang, namun PAS sama sekali tidak memboikot media, kata setiausaha agung parti itu, Takiyuddin Hassan.

Sebaliknya, kata Takiyuddin PAS memilih untuk mendiamkan diri daripada memberi respon terhadap isu semasa kerana beranggap ia adalah cara terbaik untuk mereka.

"Sudah lama PAS tak bertemu media secara rasmi begini, lebih-lebih lagi setelah kita menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat.

"Kita tidak bersama media bukan kerana kita tak suka, jauh (sekali daripada) boikot media... media adalah rakan-rakan kita.

"Tapi kadangkala diam itu jawapan terbaik untuk semua persoalan, senyuman reaksi terbaik untuk semua situasi," katanya ketika berucap pada program sesi dialog presiden PAS bersama media di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama pada program itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sejak berlakunya Langkah Sheraton yang membawa PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat, parti itu dilihat banyak menguci mulut daripada memberi komen dalam isu-isu yang membabitkan krisis politik negara.

Kenyataan ataupun sebarang komen terhadap sesuatu isu hanya akan dikeluarkan oleh pemimpin utama parti saja.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata dalam situasi politik tidak menentu sekarang PAS mengambil pendirian bahawa kenyataan media hanya dikeluarkan oleh individu tertentu.

"Jadi dalam suasana politik agak tidak menentu, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang PAS kita mengambil sikap untuk kita satukan kenyataan-kenyataan orang tertentu saja yang buat kenyataan khususnya presiden PAS, timbalan dan setiausaha agung," katanya.

Lihat Komen
ADS