Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pak Wan: 'Anwar kena tunjuk SD 113 MP jika menghadap Agong'
Diterbitkan:  Dec 13, 2020 5:05 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Presiden PKR Anwar Ibrahim perlu mengemukakan akuan berkanun (SD) sokongan 113 ahli parlimen sekiranya diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohd Redzuan Md Yusoff dipetik Bernama berkata demikian ketika mengulas cubaan Anwar untuk sekali lagi memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi membuktikan dia mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

"Kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim dah cukup (sokongan), saya ucapkan selamat berjaya kepada beliau.

"Semoga diterima oleh Yang di-Pertuan Agong untuk beliau ambil alih (kerajaan).

"Kalau dia ada (sokongan mencukupi) apa kita nak buat, (namun) itu terpulang kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong," katanya yang juga menteri tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri.

Ketika ketua pembangkang parlimen itu menghadap Al-Sultan Abdullah pada 13 Oktober lalu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin mengesahkan Anwar tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepadanya.

Sebaliknya Anwar hanya mempersembahkan jumlah ahli parlimen yang didakwa menyokongnya menjadi perdana menteri.

Terdahulu dilaporkan Anwar bakal mendapatkan perkenan menghadap Agong bagi mempersembahkan perakuan bersumpah (SD) yang diperolehinya.

Ia segera menarik perhatian kerana sebelum itu Setiausaha Agung BN Annuar Musa mengesahkan memang ada gerakan menarik ahli parlimen Umno agar memberikan sokongan kepada Anwar.

Bagaimanapun, hari ini sumber dalaman PH berkata laporan yang mengatakan Anwar memperoleh sokongan daripada 10 ahli parlimen Umno itu adalah palsu.

Lihat Komen
ADS