Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Seteru lama, Mahathir - Ku Li kongsi pentas petang ini
Diterbitkan:  Dec 14, 2020 12:45 PM
Dikemaskini: 5:51 AM

Pertarungan sengit mereka suatu ketika dahulu menyaksikan Umno terbelah dua, namun bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh dijangka berkongsi pentas di tengah ketidakstabilan politik dan ekonomi.

Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh dijangka mengadakan sidang media bersama petang ini.

Sidang media itu adalah yang pertama setelah Dr Mahathir pernah berunding dengan Tengku Razaleigh mengenai kemungkinan kerjasama politik, sejak lebih sebulan lalu.

Di sebalik hubungan tegang antara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim untuk menguasai Putrajaya, kedudukan Tengku Razaleigh sentiasa menjadi misteri di sebalik partinya Umno bersama Perikatan Nasional yang diterajui Muhyiddin.

Selang beberapa jam selepas Anwar menghadap Yang Di-Pertuan Agong pada 13 Oktober untuk meyakinkan baginda bahawa dia kini mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat, Tengku Razaleigh juga dipanggil menghadap di Istana Negara.

Setkat ini, langkah Anwar belum berhasil Tengku Razaleigh juga dikatakan sedang berusaha untuk menumbangkan Muhyiddin.

Putera raja itu pada September lalu telah menulis surat kepada Dewan Rakyat untuk mengusulkan undi percaya ke atas Muhyiddin dan susulan itu memulaukan pengundian belanjawan setelah speaker Azhar Azizan Harun menolak permohonannya itu.

Tengku Razaleigh, yang lebih dikenali sebagai Ku Li, bertegas bahawa dia tidak akan mengambil bahagian dalam perbahasan belanjawan selagi kesahihan kerajaan belum dibuktikan.

Pada masa lalu, Tengku Razaleigh juga disebut-sebut sebagai calon perdana menteri alternatif.

Namun, tidak ada petunjuk buat masa ini, bahawa dia secara aktif mengumpulkan sokongan ahli parlimen.

Undian belanjawan, yang juga dianggap sebagai sokongan kepada undi percaya, akan selesai minggu ini.

Ini adalah peluang terakhir Anwar untuk membuktikan bahawa Muhyiddin telah kehilangan sokongan majoriti dengan mengumpulkan cukup sokongan untuk menolak belanjawan tersebut.

Anwar telah berusaha meyakinkan ahli parlimen Umno untuk menyokongnya tetapi Umno sendiri berpecah kepada beberapa puak.

Ahli parlimen Umno seperti Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak didakwa bersedia untuk bekerjasama dengan Anwar, menjadikan mereka sebagai antara ahli parlimen untuk diperhatikan memandangkan mereka mungkin membuat kejutan.

Namun, blogger berkaitan Umno seperti Raja Petra Kamaruddin membuat spekulasi bahawa ahli parlimen Umno sekadar “menggunakan” Anwar untuk menyingkirkan Muhyiddin tanpa menyokongnya untuk mengambil alih jawatan perdana menteri.

Sama ada Anwar akan berjaya atau sebaliknya di Dewan Rakyat akan ditentukan minggu ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS