Perkhidmatan Google, termasuk YouTube, Gmail dan Google Drive, pulih semula bagi kebanyakan pengguna pada Isnin, berikutan gangguan yang menjejaskan ribuan orang di seluruh dunia.
Laman web Google berkata perkhidmatan berkenaan terjejas selama hampir satu jam sebelum dipulihkan.
Syarikat tersebut mempunyai beberapa perkhidmatan yang paling banyak digunakan di dunia.
YouTube mencatatkan lebih daripada 2 bilion pengguna setiap bulan, dengan jumlah satu bilion jam tontonan video di platform berkenaan.
"Kami kembali dan beroperasi!" kata platform video tersebut menerusi tweetnya, lapor Reuters.
Ia sebelum itu memberitahu ramai pengguna menghadapi masalah untuk mengakses YouTube.
Menurut laman web pemantauan gangguan DownDetector, lebih 12,000 pengguna YouTube terjejas di serata dunia, termasuk Amerika Syarikat, Britain dan India.
Gangguan pada aplikasi Google bukanlah perkara luar biasa, namun gangguan pada Isnin mempengaruhi semua perkhidmatannya yang popular, termasuk Google Hangouts, Google Chat dan Google Meet, produk yang banyak digunakan pengguna semasa wabak Covid-19.
