Rundingan lanjut bagi perkukuh kedudukan kewangan MAGB, MAB
PARLIMEN l Bagi mengatasi masalah kewangan Malaysia Aviation Group Bhd (MAGB) dan Malaysia Airlines Bhd (MAB), kerajaan akan mengadakan rundingan lanjut dengan pihak Khazanah Nasional Bhd bagi mengenal pasti hala tuju syarikat, kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abdul Rahim Bakri.
Beliau berkata langkah itu turut bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan kewangannya dan mengenal pasti penyelesaian strategik yang terbaik bagi kumpulan penerbangan berkenaan.
Abdul Rahim Bakri berkata kesan Covid-19 terhadap industri penerbangan secara global adalah amat buruk, malah, Malaysia Airlines tidak terkecuali daripada menerima impak daripada penularan pandemik itu.

“MAB kini beroperasi dengan kira-kira 75 peratus daripada pesawatnya tidak dapat diterbangkan akibat sekatan perjalanan dan turut menyaksikan kapasiti dan pendapatannya terjejas,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai kemampuan syarikat Malaysia Airlines (MAS) dalam menangani krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19.
“Setakat 31 Ogos 2020, jumlah kecairan yang dimiliki oleh Kumpulan MAGB adalah kira-kira RM366 juta selain kira-kira RM578 juta yang tersedia untuk digunakan daripada dana yang diperuntukkan oleh Khazanah,” katanya.
- Bernama

