Malaysiakini
BERITA

Akar umbi serah memo, gesa PAS tolak gabungan PN

B Nantha Kumar

Diterbitkan

Sekumpulan ahli akar umbi PAS berkumpul di ibu pejabat parti hari ini untuk mendesak pucuk pimpinan parti supaya menolak kerjasama bersama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Mereka turut menuntut agar satu muktamar khas diadakan untuk membahaskan pendirian akar umbi berhubung kerjasama PAS bersama PN.

"Sejak sekian lama kami ingin meluahkan perasaan yang seolah-olah kami sedang ditipu atau sedang dipaksa oleh segelintir kepimpinan untuk menerima dan bersetuju berada di dalam PN.

"Setelah hampir sebulan menghubungi rakan-rakan di seluruh negara serta membuat kajian secara rambang terutama pada akar umbi PAS, kami dapati rata-rata akar umbi tidak setuju PAS berada di dalam gabungan PN.

"Mereka nyatakan jangan mengharapkan keuntungan jangka masa pendek akan tetapi kerugian untuk jangka masa panjang," kata jurucakap kumpulan itu, Khairul Anuar kepada pemberita di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

Khairul mendakwa bahawa dia adalah ahli PAS dari Kedah, yang kini tinggal di Putrajaya.

Menurutnya lagi, ahli akar umbi begitu terkilan dengan pendirian pusat pimpinan.

"Sepatutnya, kerjasama PAS pada Mac 2020 bersama gabungan PN semasa krisis politik negara hanya melibatkan ahli-ahli parlimen PAS sahaja.

"Namun, kini kepimpinan telah membawa parti ke dalam gabungan PN tanpa persetujuan ahli.

"Maka, kami menuntut satu muktamar khas diadakan untuk membahaskan akan hal ini," katanya sambil menambah bahawa PAS kini dilihat sebagai 'budak suruhan' dalam gabungan PN.

Untuk rekod, PAS yang sebelum ini memeterai perjanjian kerjasama politik dengan Umno yang dikenali sebagai Muafakat Nasional (MN) pada 2019, kemudian secara rasmi mendaftar bersama gabungan PN melibatkan Bersatu dan beberapa parti dari Sabah dan Sarawak.

Terdahulu, Khairul mengetuai sekumpulan 20 ahli PAS menyerahkan memorandum selepas tidak puas hati dengan keputusan pucuk pimpinan parti itu bersama gabungan PN.

Mereka turut dilihat membawa sepanduk bertulis: "Akar umbi PAS penyokong PAS tolak PN"

Turut tertera adalah sepanduk bertulis: "Jangan jadi jurucakap Bersatu" dengan gambar Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung), Ahmad Samsuri Mokhtar (Menteri Besar Terengganu) dan Mohd Syahir Sulaiman (penolong Setiausaha Agung PAS).

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.