Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB: Taklimat belanjawan pada Adun untuk maklumat awal
Diterbitkan:  Dec 15, 2020 8:17 AM
Dikemaskini: 8:17 AM

Taklimat Belanjawan 2021 Perak yang diberikan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam satu majlis hari ini, bertujuan memberi maklumat awal kepada wakil rakyat sebelum dokumen itu dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, esok.

Menteri Besar Perak yang baharu Datuk Saarani Mohamad berkata taklimat kepada semua ADUN itu merupakan pertama kali dilaksanakan kerana kebiasaannya ia dibuat selepas pembentangan belanjawan.

"Walaupun kita mengadakan taklimat hari ini kepada kesemua ADUN tetapi ia bukanlah kandungan sepenuhnya pembentangan belanjawan.

"Apa yang kita kemukakan tadi kepada ADUN merupakan maklumat awal dengan tujuan semasa berbahas nanti mereka mengambil kira apa maklumat awal yang diberikan," katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat berkenaan di Ipoh, hari ini

Dalam pada itu, Saarani berharap ADUN yang mengambil bahagian dalam perbahasan pada persidangan DUN nanti dapat berbahas mengikut fakta yang telah diberikan oleh Pegawai Kewangan Negeri dan pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri dalam taklimat berkenaan.

"Oleh kerana itu, taklimat yang diadakan hari ini sangat bermakna dan bermanfaat kerana kita memberi ruang kepada ADUN termasuk pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan dengan menggunakan fakta-fakta yang telah diberikan," katanya.

Belanjawan 2021 negeri Perak sepatutnya dibentang ketika persidangan DUN 4 Dis lepas, namun tertangguh selepas Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti ahli Dewan terhadapnya.

Menerusi usul itu yang dibawa oleh Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru), Ahmad Faizal hanya mendapat 10 undi sokongan berbanding 48 menentang manakala satu berkecuali sebelum beliau kemudian mengumumkan peletakan jawatan bersama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada 5 Dis.

Speaker DUN Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid menetapkan pembentangan Belanjawan 2021 Negeri pada 9 Dis, namun ia tidak dapat diteruskan disebabkan pelantikan Menteri Besar Perak yang baharu dan sekurang-kurangnya empat Exco belum dibuat.

Pada 10 Dis, Saarani telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak di hadapan Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dan diikuti oleh lima Exco.

-Bernama

Lihat Komen
ADS