Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Belanjawan lulus, namun kedudukan kerajaan masih tak stabil

ULASAN | Persidangan Dewan Rakyat hari ini secara rasmi meluluskan Belanjawan 2021 dengan kelebihan majoriti tiga undi.

Boleh dikatakan ia sejarah pertama buat negara, proses meluluskan belanjawan melalui "jalan yang berliku" dan memperoleh undi dengan majoriti paling tipis dalam sejarah negara.

Pastinya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dapat menarik nafas lega buat seketika, namun kedudukan kerajaan masih lagi tidak stabil.

Majoriti yang cukup tipis boleh membuatkan kedudukan kerajaan dan perdana menteri digugat secara tiba-tiba. Banyak risiko apabila keadaan politik negara yang tidak stabil.

Dua hari sebelum bacaan kali ketiga Belanjawan 2021, khabar angin bertiup kencang bahawa 10 ahli Parlimen Umno/BN menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun 10 ahli Parlimen Umno/BN yang dikaitkan dengan dakwaan itu menafikan berita tersebar di media itu.

Begitu juga dengan khabar angin bahawa ada gerakan dari Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak, bersama Anwar untuk menumbangkan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin bukan lagi rahsia.

Ia tersebar meluas dalam kalangan pemerhati politik kedai kopi, bahkan ia tular di media sosial dengan pelbagai label diberikan terhadap kumpulan ini.

Sehari sebelum bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 berlangsung, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah "bergabung" menawarkan untuk mengambil alih tampuk pentadbiran negara.

Bahkan mereka menawarkan khidmat secara percuma asalkan PN ditumbangkan dan Muhyiddin tidak menjadi perdana menteri lagi.

Tekanan ke atas Muhyiddin tidak akan terhenti meskipun Belanjawan 2021 diluluskan secara rasmi. Muhyiddin dijangka akan terus berdepan dengan tekanan.

Pembangkang pasti tidak akan berdiam diri, mereka pastinya akan terus mengasak kerajaan yang ada kini dengan majoriti yang cukup tipis.

Mahathir juga pasti tidak berhenti untuk mengatur strategi mencari jalan menumbangkan PN.

Umno pula mungkin akan memberi tekanan kepada Muhyiddin jika keputusan ataupun tindakan diambil tidak memenuhi aspirasi mereka.

Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin hari ini cukup rapuh hanya disokongan dengan 111 ahli Parlimen saja.

Ketidaktentuan politik ini jika dibiarkan berterusan bukan saja memberi kesan ekonomi negara, yang lebih parah adalah rakyat yang terpaksa menanggung kesannya.

Permainan politik yang tidak berkesudahan hanya merugikan rakyat. Jalan terbaik ialah dengan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baru.


Lihat Komen
ADS