Australia telah mengeluarkan peringatan perjalanan ke Indonesia berikutan kebimbangan Canberra mengenai kemungkinan pengganas merancang rangkaian serangan tahunan di republik tersebut.

Indonesia telah mengalami serangan pengganas pada separuh masa kedua tahunan bagi empat tahun lalu selepas peristiwa letupan bom di Bali pada Oktober 2002.

Menurut laporan Bernama, dalam nasihat perjalanan terkini, Jabatan Halehwal Luar dan Perdagangan Australia (DFAT) berkata risikan mendapati pengganas mungkin merancang serangan di tempat-tempat kepentingan Barat di Indonesia.

"Kami terus menerima banyak laporan yang menyatakan pengganas kini di peringkat akhir merancang serangan terhadap tempat kepentingan Barat di Indonesia, membabitkan pelbagai sasaran termasuk tempat yang sering dikunjungi warga asing," kata DFAT dalam lamanwebnya.

Jabatan itu menyatakan tempoh sehingga Disember adalah dikatakan yang paling bahaya.

Tangguh lawatan

"Ekstremis mungkin merancang serangan dari Ogos hingga Disember 2006," menurut DFAT.

"Lokasi yang mungkin menjadi sasaran termasuk Jakarta, Bali dan Batam. Bagaimanapun serangan pengganas mungkin boleh berlaku bila-bila masa dan di mana-mana di Indonesia," tambahnya.

Letupan pertama di Bali pada 2002, membunuh 202 orang termasuk 88 warga Australia. Pada Ogos 2003, 11 orang terbunuh dalam letupan bom di Hotel Marriott di Jakarta. Tahun depannya pula, Kedutaan Australia di Jakarta dibom pada September, membunuh 11 orang.

Tahun lalu, pengganas sekali lagi melakukan serangan di Bali, membunuh 23 orang termasuk empat warga Australia.

Dalam nasihat perjalanan itu, DFAT meminta mereka menangguhkan lawatan ke Indonesia atau sekiranya mereka dapat pergi ke destinasi lain.