Amerika pantau masalah pelarian di Msia
Pegawai Amerika yang bertanggungjawab terhadap halehwal pelarian akan datang ke Malaysia sebagai sebahagian daripada lawatannya ke tiga buah negara minggu depan untuk meneliti isu pelarian di negara ini.
Pegawai Amerika yang bertanggungjawab terhadap halehwal pelarian akan datang ke Malaysia sebagai sebahagian daripada lawatannya ke tiga buah negara minggu depan untuk meneliti isu pelarian di negara ini.
Menurut kenyataan Jabatan Negara Amerika, selain Malaysia, Setiausaha Rendah Negara bagi Kependudukan, Ellen Sauerbrey, juga akan melawat Thailand dan Bangladesh.
Beliau akan turut ditemani oleh Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Antonio Guterres, ketika melakukan lawatan ke Thailand.
Tujuan lawatan ke tiga buah negara tersebut dari 21 Ogos hingga 2 September ialah untuk meneliti program dan dasar serta isu-isu yang membabitkan orang pelarian," kata kenyataan itu lagi, tanpa memberi sebarang butiran lanjut mengenainya.
Ini merupakan lawatan lawatan pertama Sauerbrey ke rantau sejak dilantik memegang jawatan tersebut pada bulan Januari.
Beliau akan bertemu dengan pegawai dan menilai semula program yang dibiayai oleh kerajaan Amerika di ketiga-tiga negara terbabit.
Pendatang haram
Malaysia menempatkan kira-kira 50,000 pelarian, yang kebanyakannya adalah pelarian Rohingya dari Burma dan pelarian Aceh dari Indonesia.
Malaysia belum mengesahkan Konvensyen 1951 Mengenai Status Pelarian dan semua pendatang asing tanpa dokumen dikategorikan sebagai pendatang haram yang terpaksa berdepan dengan undang-undang Imigresen yang tegas.
Pelarian Burma seramai kira-kira 12,000 dari suku kaum Chin tinggal bersembunyi di kawasan hutan dan sering menghadapi risiko ditangkap dan dihantar pulang.
Bagaimanapun, kehidupan pelarian Rohingya yang beragama Islam agak baik. Pada November 2004, Malaysia telah memberi status pendatang sah kepada masyarakat Rohingya di negara ini yang dianggarkan berjumlah 10,000.
Tetapi proses pendaftaran mereka digantung oleh pihak berkuasa semalam ekoran wujudnya dakwaan berlaku rasuah dan penipuan.

