Kekurangan gula: Bertindak tegas terhadap penyorok, penyeludup
Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) percaya masalah kekurangan bekalan gula di negara ini adalah berpunca daripada kegiatan menyeludup dan perbuatan menyorok bahan tersebut.
Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) percaya masalah kekurangan bekalan gula di negara ini adalah berpunca daripada kegiatan menyeludup dan perbuatan menyorok bahan tersebut.
Cassa mahu pihak berkuasa supaya tidak teragak-agak lagi untuk menggunakan Ordinan Darurat (EO) terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukannya.
"Masalah ini sudah berlanjutan sejak April lagi dan nampaknya keadaan bekalan gula masih belum berubah, jadi tindakan yang lebih keras perlu diambil," kata Presiden Cassa, Dr Jacob George.
Ordinan Darurat, sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), membolehkan suspek ditahan tanpa bicara selama dua tahun. Dan tempoh tersebut boleh dilanjutkan oleh pihak kerajaan.
George berkata, Cassa menerima laporan dan aduan setiap hari dari seluruh negara.
Walaupun fokus utamanya ialah mengenai isu-isu kepenggunaan yang membabitkan penduduk Subang dan Shah Alam, tetapi talian 'hotline' Cassa turut menerima panggilan dari seluruh negara, dan popularitinya telah membawa presidennya ke Kelantan, Perlis, Melaka dan Port Dickson untuk memantau sendiri keadaan di sana.
"Kami telah menjadi seperti pusat rujukan kebangsaan," katanya.
Kementerian terlalu lembut
George kecewa dengan pendekatan lembut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Halehwal Pengguna dengan menasihatkan orang ramai melalui papan tanda dan kenyataan akhbar supaya mengurangkan pengambilan gula, serta menyalahkan orang lain sebagai punca masalah tersebut.
"Tiada gunanya menasihatkan orang ramai mengurangkan pengambilan gula. Memang betul pengambilan gula yang tinggi mengakibatkan masalah kesihatan dan kita bersetuju sepenuhnya, tetapi ia adalah pilihan peribadi.
"Kawasan seperti di Kelantan di mana kaum wanitanya secara tradisional menjadi sumber rezeki keluarga dengan membuat kuih-muih tradisional, terjejaskan dengan kekurangan bekalan gula sekarang.
"Begitu juga di seluruh negara, para keluarga yang memperolehi pendapatan tambahan dengan menjual kuih-muih tradisional ini di gerai-gerai bagi menampung kenaikan kos hidup ekoran kenaikan harga minyak dan elektrik baru-baru ini, terjejas teruk dengan kekurangan bekalan gula sekarang," tambahnya.
Bagi memburukkan lagi keadaan, katanya, ada persatuan pengguna yang mengenepikan kepentingan pengguna dengan meminta supaya harga gula dinaikkan.
George merujuk kepada cadangan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) supaya harga gula dinaikkan sebanyak 30 sen kepada RM1.70 RM1.75 sekilogram, berbanding harga sekarang sebanyak RM1.40 - RM1.45 sekilogram.
"Ianya sukar dipercayai dan sukar difahami (cadangan tersebut) dalam keadaan hari ini di mana pengguna terpaksa berdepan dengan kos hidup yang tinggi," katanya.
Menurutnya, jika harga gula dinaikkan, barangan pengguna yang lain yang menggunakan gula, sudah tentunya turut naik.
"Minuman seperti Coca-Cola mempunyai formula kandungan yang seragam yang digunakan oleh kilangnya di seluruh dunia, jadi ianya bukanlah soal kurangkan penggunaan gula di kilangnya di Malaysia, bagi mengekalkan harga yang sama bagi semua bahan minuman," tambahnya.
Tindakan keras
Menurut George, kekurangan bekalan gula sekarang adalah disebabkan oleh kegiatan penyeludupan dan perbuatan menyorok bahan tersebut serta kegiatan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memanipulasikan pasaran gula.
"Kita menggesa kerajaan supaya menggunakan undang-undang darurat, kerana ekonomi negara diancam oleh orang-orang ini.
"Mereka telah mengkhianati negara melalui kegiatan mereka dan dengan menggunakan ordinan darurat, kita boleh membekukan akaun bank mereka, melakukan serbuan serta merampas gudang mereka serta melakukan tangkapan," katanya.
George berkata, pihak kementerian sepatutnya menggunakan pendekatan yang keras seumpama itu, dan bukannya menggunakan pendekatan yang lembut kerana ia ia memburukkan lagi keadaan.
Beliau juga tidak bersetuju dengan alasan kementerian berkenaan bahawa masalah kekurangan gula sekarang ada kaitan dengan empat kilang pengeluar gula di negara ini.
Menurut kajian Cassa, pengeluaran gula bagi pasaran domestik tahun lalu daripada kilang-kilang berkneaan berjumlah 1.024 juta metrik tan dan bagi tahun ini, pengeluarannya berjumlah 437,794 metrik tan setakat ini.
"Ini menunjukkan bahawa pihak pekilang telah menghasilkan jumlah yang diperlukan dan mereka hanya perlu mengeluarkan 70% daripada kapisiti mereka untuk memenuhi keperluan tempatan.
"Pihak kementerian menyalahkan semua orang, kecuali dirinya sendiri. Kementerian kata masalah ini akan dapat diselesaikan dalam bulan Ogos, tetapi saya tidak nampak ianya akan dicapai kerana punca sebenarnya tidak diatasi orang yang bertanggungjawab melakukannya tidak ditahan dan masih beroperasi, jadi bagaimana anda hendak menyelesai masalah ini:," soalnya.
"Pihak kementerian juga hanya mencari jalan pantas untuk menyelesaikannya dengan meminta para pengeluar gula meningkatkan pengeluaran tanpa mengambilkira isu sebenarnya," tambahnya.
Pekilang membisu
Walaupun beliau bersetuju bahawa monopoli gula patut dihentikan, George berkata, dalangnya adalah pengedar dan pemborong kerana merekalah yang mempunyai infrastruktur untuk mengendalikan bekalan gula dan peringkat inilah yang patut ditangani terlebih dahulu.
"Tetapi mereka (merujuk kepada empat kilang pengeluar gula) hanya mendiamkan diri, dan membiarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bercakap bagi pihak mereka, dan saya rasa ini amat menyedihkan," tambahnya.
Kepada para pengeluar gula, George berkata: "Jika kamu terus mendiamkan diri, orang akan menganggap kamu turut bersubahat (kerana), kerana...harga naik, kamu yang akan mengaut keuntungan. Jika ada yang tidak kena, kamu patut salurkan maklumat mengenainya kepada pihak berkuasa, kamu ada permit, maka kamu mestilah turut bertanggungjawab," katanya.
George juga bertanya siapakah yang menasihati Menteri (Datuk Mohd Shafie Apdal) kerana strateginya berubah sepanjang masa dan ini mencerminkan seolah-oleh pihak kementerian tidak tahu cara menangani masalah ini.
"Menteri berkenaan patut menemui orang ramai (persatuan pengguna) yang boleh memberi gambaran yang jelas dan betul mengenai apa yang berlaku di luar sana.
"Kita menerima maklumbas sepanjang masa melalui talian 'hotline' kami dan pihak pengadu dan kami sendiri bersedia untuk menyalurkan maklumat ini kepada beliau untuk mencari penyelesaian kekal terhadap masalah tersebut.
"Tetapi sehingga ini, beliau tidak minta diadakan sebarang perjumpaan," kata George.
Esok: Gerai makanan terjejas teruk kerana kekurangan gula
Bhgn 1: Bekalan gula: Tamatkan monopoli 'raja' gula.
Bhgn 2: Naikkan harga gula untuk atasi kekurangan bekalan?

