Seorang pakar anti-keganasan Asia Pasifik mendakwa kini muncul satu bentuk baru ekstremis Islam yang menggantikan rangkaian sedia ada.

Sidney Jones, dari International Crisis Group (ICG) berpendapat pertubuhan seperti Jemaah Islamiah (JI) kini semakin lemah tetapi memberi amaran lompang itu kini diisi oleh kumpulan-kumpulan lebih kecil.

"Kita sedang berdepan dengan beberapa kumpulan serpihan dan orang-orang di belakang Nordin Mohammed Top, yang mengetuai tiga pengeboman besar baru lepas, sebenarnya adalah ketua sebuah kumpulan serpihan -- bukan JI sebenar.

"Itulah yang kita lihat berikutan beberapa tangkapan, serpihan dari kumpulan lebih besar," katanya dalam program Halehwal Semasa ABC.

Menurut laporan Bernama, Jones, yang juga pengarah projek Asia Tenggara ICG, juga memberi amaran tentang kemungkinan berlaku serangan baru pengganas, berdasarkan hakikat berlakunya serangan di Indonesia terhadap kepentingan Australia dan Barat setiap tahun sejak pengeboman di Bali pada 2002.

Abu Bakar Bashir

Katanya, walaupun pada pandangannya, keupayaan kumpulan tersebut untuk melakukan serangan baru telah berkurangan dan semakin lemah, "tapi malangnya, kita kini tahu mereka ada merancang operasi hebat sekali dalam setahun dan jangkaan saya ialah sekalipun keupayaan berkurangan akan ada usaha mencuba lagi".

Di samping itu, kata Jones, wujud obsesi melampau terhadap ulama radikal Abu Bakar Bashir dan berpendapat Indonesia wajar diberi sanjungan lebih besar kerana mempertingkat langkah-langkah keselamatan.

Bashir dibebaskan dari penjara pada Jun selepas menjalani hukuman 26 bulan kerana konspirasi dalam letupan Bali 2002.

"Bashir kini menarik perhatian beribu-ribu orang bila mengadakan siri ceramah tetapi saya tidak pasti sama ada ini menghasilkan sebarang impak untuk menarik penyertaan lebih ramai ke dalam rangkaian ekstremis atau memberi dorongan baru kepada gerakan pengganas," kata Jones.