GLOBAL | Pihak berkuasa tempatan (PBT) Paris dikenakan denda selepas kerajaan mendapati mereka meletakkan terlalu ramai wanita untuk memegang jawatan kanan dalam agensi itu.

Menganggap hukuman tersebut sebagai mengarut, Datuk Bandar Paris Anne Hidalgo secara sinis berkata dia berasa gembira kerana didenda.

“Saya amat gembira untuk mengumumkan bahawa kita dikenakan denda,” katanya dalam mesyuarat majlis bandar raya itu semalam.

Anne berkata, dia 'dipersalahkan' kerana melantik 11 wanita berbanding hanya lima lelaki untuk mengisi jawatan pengurusan majlis bandar raya Paris pada 2018.

Dengan komposisi itu kerajaan pusat mendapati Anne meletakkan wanita untuk mengisi 69 peratus jawatan kanan berbanding lelaki.

Terdahulu Kementerian Perkhidmatan Awam Perancis mengenakan denda €90,000 atau AS$110,000 (RM446,221) atas alasan Majlis Bandar Raya Paris melanggar peraturan kesaksamaan jantina semasa pengambilan pekerja pada 2018.

“Pihak pengurusan majlis perbandaran secara tiba-tiba menjadi terlalu feminis,” kata Anne mengulas hukuman tersebut.

Anne Hidalgo

Berdasarkan keputusan yang dipetik akhbar harian Le Monde, PBT itu melanggar peraturan 2013 yang menyatakan bahawa satu jantina tidak boleh menyumbang lebih daripada 60 pencalonan dalam jawatan pengurusan.

Anne secara sinis berkata, dia akan membawa cek denda tersebut untuk bertemu kerajaan bersama timbalan datuk bandar dan semua wanita yang bekerja dengannya.

Dia menambah dalam nada lebih serius: “Denda ni jelas sangat mengarut, tak adil, tidak bertanggungjawab dan berbahaya.”

Anne juga berkata, wanita di Perancis sewajarnya dipromosikan dengan penuh semangat.

“Ya, untuk mencapai keseimbangan satu hari, kita wajar percepatkan rentak dan memastikan lebih ramai wanita dilantik berbanding lelaki,” katanya dipetik AFP.

Sementara itu, menjawab di Twitter, Menteri Perkhidmatan Awam Perancis, Amelie de Montchalin, mengakui bahawa denda tersebut dikenakan untuk 2018.

Katanya, sejak itu peraturan "tidak masuk akal" mengenai kesetaraan dalam pihak pengurusan telah dimansuhkan.

“Saya mahukan denda itu dibayar oleh Paris untuk 2018 sebagai membiayai tindakan konkrit mempromosikan wanita dalam perkhidmatan awam.

"Saya menjemput anda ke kementerian untuk membincangkannya,” katanya dalam mesej kepada Anne.