Kerajaan akan memilih 'masa yang sesuai' untuk mengumumkan sama ada projek insinerator berharga RM1.5 bilion di Broga, Selangor telahpun dibatalkan, kata seorang pegawai tinggi kerajaan hari ini.

"Bukan kami tidak mahu membuat pengumuman, kami akan mengumumkannya apabila tiba masa yang sesuai. Harap bersabarlah," kata Penasihat Jabatan Kerajaan Tempatan, Fong Tian Yong (dua dari kiri).

"Kesemua faktor ini (bantahan penduduk Broga) telah diambilkira dan anda turut memberi kesan kepada keputusan-keputusan tertentu," katanya kepada delegasi penduduk Broga dalam perjumpaan selama 20 minit di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini. Jabatan Fong terletak di bawah kementerian berkenaan.

Turut hadir ialah Ketua Jabatan Perhubungan Awam kementerian berkenaan, Razali Kidam.

Pengerusi Jawatankuasa Membantah Insinerator Broga, Zulkifly Omar yang mengetuai delegasi lima orang itu, bertanya mengapa kerajaan seperti teragak-agak untuk membuat kenyataan rasmi mengenainya.

"Sudah hampir sebulan berita mengenai pembatalan projek tersebut disiarkan, tetapi kerajaan tidak mahu membuat pengumuman, ini bukan sebuah kerajaan yang cekap," katanya.

"Mengapa ambil masa begitu lama untuk mengumumkannya? Kami adalah penduduk di sana dan kami mempunyai hak untuk mengetahui status sebenar projek tersebut," tegasnya.

Dalam jawapannya, Fong berkata, beliau sendiri tidak tahu bagaimana Business Times Singapura akhbar pertama yang menyiarkan berita pembatalan tersebut mendapat maklumat mengenainya.

Sambil meminta penduduk terbabit supaya bersabar, beliau berkata, keputusan itu nanti akan menguntungkan penduduk terbabit.

Fong berkata, beliau akan menyampaikan apa yang dibangkitkan oleh penduduk terbabit kepada Menteri berkenaan, Datuk Seri Ong Ka Ting. Penduduk terbabit sebenarnya mahu menemui Ong tetapi tidak berhasil.

Menteri elak pemberita

Seorang penduduk, Alice Lee berkata, beliau sangat kecewa kerana mereka tidak pernah berhasil untuk menemui Ong walaupun sudah banyak kali mencubannya, sejak mereka melancarkan kempen anti-insinerator empat tahun lalu.

Seorang lagi penduduk, Gn Hin Lee memberitahu Fong dalam bahasa Cina, yang bermaksud: "Kami bukan hantu atau harimau, mengapa takut dengan kami? Tanya awak punyai 'big brother' (Ong) untuk berjumpa dengan kami."

Ong (foto), yang juga Presiden MCA juga sentiasa mengelak daripada bertemu dengan pihak media sejak berita mengenai pembatalan projek insinerator itu disiarkan.

Rabu lalu, beliau dijadual mengadakan sidang akhbar di kementeriannya mengenai perkara lain, tetapi ianya dibatalkan pada saat-saat terakhir.

Semalam, beliau enggan menemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran buku di Petaling Jaya.

Sementara itu, Zulkifly berkata, beliau sangat kecewa dengan sikap menteri berkenaan.

"Ia adalah dalam bidangkuasa beliau, siapa lagi yang lebih baik daripada beliau untuk membuat pengumuman tersebut? Satu pengumuman akan menyelesaikan kekeliruan ini," tegasnya.

Selasa lalu, malaysiakini memetik pegawai kementerian berkenaan yang enggan namanya disiarkan, sebagai mengesahkan bahawa notis pembatalan telahpun dihantar kepada kontraktor projek insinerator tersebut.

Pegawai itu berkata, tuntutan pampasan daripada kontraktor berkenaan juga telah dikemukakan dan kedua-duanya berlaku baru-baru ini.

Akhbar Business Times juga telah melaporkan sebuah konsortium yang terdiri daripada Ebara Corp dari Jepun dan rakankongsi tempatan, Hartasuma Sdn Bhd, telah mengemukakan tuntutan pampasan berjumlah RM500 juta.

Bagaimanapun, seorang pegawai Hartasuma menafikan kebenaran berita tersebut dan berkata syarikatnya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo juga tidak mengetahui perkara tersebut.

Ancaman serius

Projek pembinaan insinerator itu telah dipindahkan dari Puchong ke Broga pada November 2002 selepas mendapat tentangan hebat daripada penduduk Puchong, termasuk ancaman untuk mengundi pembangkang, sekiranya projek itu dibina di kawasan itu.

Keputusan untuk memindahkan lokasi projek tersebut telah mengubah kehidupan Lee dan lebih 200 penduduk Broga yang lain, yang tidak putus-putus menyuara bantahan mereka kerana ia boleh menjejaskan alam sekitara serta kesihatan dan kehidupan penduduk.

Selain itu, mereka juga memfailkan pada 8 November 2003 permohonan untuk mendapatkan butiran terperinci projek tersebut, dan kini menunggu perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Berita asal