Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis sahkan kes pekerja anak syarikat Top Glove cuba bunuh diri
Diterbitkan:  Dec 17, 2020 10:11 PM
Dikemaskini: Dec 18, 2020 9:16 AM

Seorang pekerja warga asing dari anak syarikat milik penuh Top Glove di Banting, Selangor, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di tempat tidurnya pagi ini dipercayai cuba membunuh diri.

Ketika dihubungi, ketua polis daerah Kuala Langat, Azizan Tukiman mengesahkan kejadian itu berlaku di asrama pekerja milik Flexitech Sdn Bhd.

Syarikat ini disenaraikan di laman web syarikat Top Glove sebagai salah satu anak syarikatnya.

Azizan memberitahu Malaysiakini bahawa kakitangan bahagian pentadbir sumber manusia syarikat itu membuat laporan di balai polis Banting di Klang berhubung perkara itu.

Kakitangan sumber manusia itu dikatakan menerima panggilan pada jam 7.15 pagi dari polis bantuan yang memaklumkan kepadanya bahawa seorang pengawal keselamatan yang bertugas melaporkan terdapat cubaan membunuh diri.

Kata Azizan, kakitangan sumber manusia itu memaklumkan bahawa polis bantuan berkenaan serta dua anggota lain kemudian pergi ke asrama kilang itu lalu melihat sekumpulan pekerja warga asing mengelilingi mangsa di atas katilnya dalam keadaan berlumuran berdarah.

"Mereka terus menghubungi pihak ambulans Hospital Banting dan telah maklumkan pada pihak sumber manusia (syarikat mereka).

"Jam lebih kurang 7.45 pagi pihak ambulans sampai dan telah membawa mangsa ke hospital pada jam lebih kurang 8.12 pagi," katanya.

Azizan berkata siasatan awal mendapati terdapat 24 pekerja warga asing yang tinggal di asrama yang mempunya 14 katil bertingkat itu, dan kebanyakan mereka sedang tidur ketika kejadian.

"Kejadian telah disedari oleh penghuni sebelah katil ketika pulang dari mandi dan terdengar mangsa berdehem.

"Setelah diintai dapati mangsa telah terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

"Tiada kesan pergelutan di tempat kejadian. Dan tempat kejadian juga tiada pengawasan CCTV (kamera litar tertutup)," katanya.

Ketika dihubungi, Top Glove tidak mengulas mengenai dakwaan cubaan bunuh diri tetapi mengesahkan bahawa kejadian di lokasi berkenaan.

"Pengurusan Top Glove dimaklumkan bahawa pagi ini ada kejadian yang melibatkan seorang pekerja di asramanya di Banting, Selangor.

"Laporan polis mengenai kejadian itu telah dibuat untuk memudahkan siasatan oleh pihak berkuasa," kata syarikat itu dalam satu kenyataan ringkas kepada Malaysiakini.

Sekiranya anda merasa tertekan, mempunyai kecenderungan bunuh diri, atau mengenali seseorang yang sedemikian, anda boleh menghubungi Befrienders untuk mendapatkan bantuan dengan mengikuti langkah di laman web https://www.befrienders.org.my/

Kementerian Kesihatan dan Mercy Malaysia juga telah membuat talian sokongan psikososial untuk pekerja barisan hadapan dan orang lain yang secara emosional terjejas oleh wabak Covid-19.

Talian itu boleh dihubungi di 011-63996482, 011-63994236 atau 03-9359935, dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Lihat Komen
ADS