Suhakam cadang kerjasama dengan UNHCR daftar Rohingya
Kementerian Dalam Negeri sepatutnya berkerjasama dengan Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) untuk mendaftar 12,000 pelarian Rohingya di negara ini, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.
Kementerian Dalam Negeri sepatutnya berkerjasama dengan Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) untuk mendaftar 12,000 pelarian Rohingya di negara ini, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.
Dengan bekerjasama dengan agensi PBB itu, yang berpengalaman mengendalikan kira-kira 46,000 pelarian, ia boleh mewujudkan sistem pendaftaran yang sistematik dan berkesan, kata Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam.
"Saya berharap pihak berkuasa akan menggunakan kemudahan yang disediakan UNCHR untuk menguruskan perkara mengenai pelarian (Rohingya)," katanya kepada pemberita selepas melawat depoh imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di mana pendaftaran Rohingya dijalankan sejak 1 Ogos lalu.
Siva berkata, ia adalah pilihan yang lebih baik berbanding dengan penggunaan 'ejen' dan orang tengah yang didakwa mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan daripada pelarian Rohingya dan bukan Rohingya, yang mahu mendaftar dan memperolehi dokumen pengenalan diri IMM 13.
Dengan memiliki dokumen IMM 13, mereka boleh mendapatkan pekerjaan dan menghantar anak-anak ke sekolah.
Salah tanggapan
Kerana ejen mengenakan bayaran yuran yang terlalu tinggi terhadap pelarian Rohingya, maka ramai yang beranggapan wang tersebut 'masuk poket pegawai kerajaan', kata Siva.
"Penggunaan ejen ini adalah satu amalan tidak sihat, walaupun ianya lebih selesa, dan pada akhirnya ia memberi nama buruk kepada kakitangan kerajaan yang tidak bersalah dalam hal ini," kata Pesuruhjaya Suhakam itu.
Suhakam mengadakan lawatgn ke depoh tersebut dan mengadakan pertemuan dengan pegawai imigresn berikutan dakwaan berlaku rasuah dan penipuan dalam proses pendaftaran tersebut.
Malaysiakini melaporkan semalam bahawa proses pendaftaran tersebut telah digantung berikutan dakwaan penipuan tersebut.
Mengulas mengenainya, Siva berkata ia proses itu digantung mungkin kerana jumlah pelarian yang ramai terbabit dalam pendaftaran tersebut.
"Sebab-sebab ianya digantung hanya boleh diberikan oleh pihak kementerian, tetapi selepas perbincangan kami (pagi ini), mungkin kerana terlalu ramai orang di depoh tersebut. Kedua, mungkin kerana tidak cukup pegawai untuk mengendalikannya. Dan ketiga, tindak-tanduk ejen-ejen terbabit mungkin menyebabkan pengantungan tersebut," katanya.
Siva berkata Suhakam mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk mendaftar pelarian Rohingya itu kerana ia dapat meringankan penderitaan yang terpaksa dilalui oleh pelarian terbabit, kerana mereka berbeza dengan pendatang yang datang atas sebab ekonomi.
Beliau juga memperjelaskan bahawa pegawai imigresen tidak terbabit secara langsung dalam proses pendaftaran tersebut tetap hanya bertindak sebagai 'fasilitator' bagi pihak kementerian.
Mengenai dakwaan berlakunya rasuah dan penipuan, Siva meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenainya supaya melaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).
"Kami sendiri pun mahu menemuduga mereka yang memberi wang tersebut. Jika sukar untuk datang (menemui Suhakam), mereka boleh menghubungi pegawai kami untuk pergi menemui mereka bagi merakamkan kenyataan mereka," katanya. berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.