Malaysiakini
BERITA

PKR yakin Anwar masih ada 'nombor'

Diterbitkan

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail percaya bahawa presiden parti itu, Anwar Ibrahim masih mampu mendapatkan jumlah yang diperlukan bagi membentuk kerajaan baru.

Dia berkata perkara itu boleh dilakukan sama ada melalui Akuan Berkanun (SD) atau melalui Dewan Rakyat.

Bercakap kepada Sinar Harian, Saifuddin berkata Anwar sentiasa memaklumkan perkembangan terkini mengenai perkara itu kepada kepimpinan tertinggi PH.

"Saya tidak bersedia berkongsi jumlahnya (SD). Saya tahu siapa yang kita jumpa, berapa yang kita dapat dan sebagainya.

"Mengenali cara Anwar menjalankan tanggungjawab, beliau sentiasa memaklumkan progres terhadap usaha beliau kepada pimpinan utama PH," katanya.

Sementara itu, Saifuddin memberitahu Utusan Malaysia semalam bahawa usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat akan berlanjutan apabila dewan bersidang semula pada Mac.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Umno Ketereh, Annuar Musa mendakwa terdapat usaha berterusan dari dalam parti itu untuk menyokong Anwar.

Bekas perdana menteri Najib Razak juga melobi BN agar menyokong presiden PKR itu pada Okt lalu.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini meminta pembangkang supaya tidak membazirkan tenaga dan membuang masa dengan ahli parlimen kerajaan yang disifatkan mereka sebagai 'oportunis'.

Ini selepas tiada ahli parlimen kerajaan yang mengundi untuk menolak Belanjawan 2021 baru-baru ini.

Mengulas perkara itu, Saifuddin berkata presiden PKR telah diberi mandat untuk mendapatkan jumlah sokongan bagi membentuk kerajaan dan tidak seharusnya dipersalahkan.

"Ini menepis dakwaan atau tohmahan yang timbul bahawa ini adalah keputusan dan agenda peribadi Anwar. Saya menafikan sekeras-kerasnya ini usaha peribadi Anwar.

"PH telah calonkan Anwar (sebagai ketua pembangkang) untuk ambil semula mandat (kerajaan). Bukan dosa untuk seorang yang telah dicalonkan berusaha," katanya kepada Sinar Harian.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.