Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Agihan kerusi PRU15 masih dalam perbincangan
Diterbitkan:  Dec 20, 2020 10:33 AM
Dikemaskini: 2:33 AM

Presiden Awang Abdul Hadi Awang berkata, agihan kerusi PRU15 masih dalam perbincangan kepimpinan pusat parti itu.

"Agihan kerusi kita serah kepada pusat. Kita ada perunding di peringkat pusat, bukan pemuda sahaja, bukan negeri sahaja.

"Sebab itu kita tidak boleh pegang kepada kenyataan mana-mana pihak sama ada perhubungan PAS negeri, kawasan atau parlimen. Mesti balik kepada pusat," katanya, lapor Sinar Harian

Dalam pada itu, Hadi berkata PAS melihat penubuhan Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) sebagai langkah awal dalam menghadapi PRU15.

Jelas Hadi lagi, sebarang keputusan penting yang melibatkan PN akan melalui majlis presiden.

"Alhamdulillah, penubuhan Majlis Presiden PN adalah bagi mengendalikan kerajaan dan semua bersetuju dalam kalangan parti yang terlibat, bukan sahaja PAS tetapi Umno.

"Penubuhan majlis presiden tidak akan menjejaskan hubungan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) kerana kita akan terus menjaga MN, pada masa sama PN di peringkat Malaysia. MN hanya di peringkat semenanjung.

"Tidak timbul persoalan sama ada PAS mengutamakan PN atau MN kerana PAS akan memberikan komitmen kepada kedua-duanya," katanya.

Elak tembung 3 penjuru PAS, Bersatu, Umno

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik Sinar Harian berkata berkata kata sepakat akan cuba dicapai sebaik mungkin supaya pertandingan tiga penjuru antara PAS, Umno dan Bersatu dapat dielakkan

Menurutnya, setakat ini perbincangan pembahagian kerusi antara Umno dan PAS telah mencapai 50 peratus.

"Pembahagian kerusi PAS dan Umno lebih separuh sudah berjaya... namun kita cuba mencari jalan penyelesaian terbaik dengan adanya Bersatu," katanya lapor Sinar Harian.

Sebelum Bersatu menyertai gabungan Muafakat Nasional pada Ogos lalu, gabungan itu hanya terdiri daripada Umno dan PAS, di mana kedua-dua parti itu memeterai perjanjian tahun lalu, ketika Bersatu masih berada dalam Pakatan Harapan.

Pada 17 Dis lalu, parti-parti kerajaan telah mencapai kata sepakat untuk menubuhkan Majlis Presiden PN yang dianggotai ketua-ketua parti masing-masing yang bertujuan menjadikannya sebagai platform untuk membincangkan dasar-dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan.

Bagiamanapun, ahli parlimen Kubang Kerian berkata isu pengagihan kerusi itu akan dilihat dari konteks menyeluruh dan setakat ini ia dibincangkan di peringkat kerusi parlimen terlebih dahulu.

Katanya, di peringkat MN, perbincangan telah diadakan beberapa kali di mana yang terakhir pada minggu lepas.

"Kita akan selesaikan sehabis baik supaya tidak berlaku pertandingan tiga penjuru pada PRU15,” katanya.

Lihat Komen
ADS