K'jaan digesa jalankan audit ujian saringan pekerja asing
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan melakukan audit terhadap ujian saringan Covid-19 mandatori terhadap pekerja asing.
Audit itu, yang boleh dilakukan menerusi Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), adalah perlu bagi menghalang percubaan orang tengah untuk mengkomersialkan ujian saringan Covid-19, kata Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy.
Sumbramaniam berkata, percubaan itu dilihat semakin meningkat ekoran permintaan tinggi terhadap ujian saringan di kalangan majikan.
"Seperti tiada kawalan atau penguatkuasaan terhadap kegiatan orang tengah ini yang bertindak sebagai ejen menyediakan saringan Covid-19. Mereka bukan penyedia penjagaan kesihatan.
"Majikan perlu sedar yang pengamal perubatan am (GP) yang sepenuhnya boleh dan bertanggungjawab untuk saringan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, MMA telah membangkitkan isu ini dengan berkata ada pihak yang cuba membuatkan GP menerima harga terendah sebagai bayaran ujian saringan, kerana mahu mendapat keuntungan lebih besar daripada majikan.
Fasa pertama ujian saringan mandatori RTK Antigen Covid-19 Perkeso sedang berjalan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Labuan, Pulau Pinang dan Sabah. Ujian ini kebanyakannya diadakan di kilang dan tapak pembinaan.
Bulan lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan ujian Covid-19 terhadap sektor swasta hanya boleh dilakukan di klinik swasta, pusat jagaan ambulatori atau hospital swasta.
Menurut KKM, hanya klinik swasta boleh menawarkan ujian saringan di lokasi seperti kilang, dewan awam atau pejabat.
Perkeso telah memaklumkan kepada majikan untuk berhubung secara terus dengan GP yang tersenarai sebagai panel mereka untuk ujian tersebut.
Senarai penuh klinik dipaparkan di laman web mereka.

