Taktik penyeludup minyak masak subsidi dihidu KPDNHEP
Taktik tiga individu yang dipercayai cuba menyeludup minyak masak bersubsidi ke negara jiran berjaya dipatahkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan Azanizam Affendi Juri berkata, sebanyak 60 kotak minyak masak bersubsidi dianggarkan 2,040 kilogram ditemui dalam dua buah kenderaan dalam Operasi Benteng Covid-19 di Machang.
Memurutnya, nilai rampasan barang kawalan bersubsidi itu berjumlah RM5,100, manakala nilai rampasan kenderaan pula RM20,000.
"Modus operandi yang digunakan adalah dengan membuat pembelian di kedai pemborong di sekitar Machang dengan menggunakan kenderaan persendirian dan seterusnya membawa barang kawalan bersubsidi itu ke sempadan negara untuk diseludup ke negara jiran.
"Namun, anggota bertugas berjaya menahan dua buah kenderaan bersama dua pemandunya dan salah seorang pembantu berusia 20-an di Jalan Pangkal Meleret menghala ke Tanah Merah.
"Dalam siasatan awal, suspek mengaku bekalan minyak masak itu akan dihantar ke pengkalan haram Bukit Lata, Pasir Mas untuk tujuan diseludup ke Mundok, Thailand," katanya dalam kenyataan kepada media di Kota Bharu, hari ini.
Azanizam berkata, taktik suspek yang membuat pembelian di kedai-kedai borong dilihat mencurigakan dan berjaya dihidu anggota bertugas.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 disyaki dengan niat melakukan penyeludupan, katanya.
"Pihak kami memberi amaran dan tindakan tegas akan diambil oleh penguatkuasaan KPDNHEP Kelantan bersama agensi penguatkuasaan di sempadan negara sekiranya berlaku ketirisan, penyelewengan atau penyorokkan oleh individu atau syarikat yang tidak bertanggungjawab.
"Orang ramai diminta menyalurkan aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti penyeludupan khususnya di kawasan sempadan," katanya lagi.

