Pergerakan Pemuda Umno mahu Pulau Pinang meletakkan tanda aras pencapaian ekonomi orang Melayu menjelang 2020 sekiranya kerajaan negeri itu tidak berupaya menerima cadangan penggiliran jawatan Ketua Menteri.

Naib ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata orang Melayu Pulau Pinang harus diberi tanda aras mengenai pemilikan hartanah, perniagaan dan industri.

Tanpa tindakan seumpama itu, nasib orang Melayu di Pulau Pinang akan menjadi tidak menentu dan pencapaian sebenar mereka tidak dapat diukur.

"Kalau isu penggiliran (ketua menteri Pulau Pinang) tak dibenarkan, Pulau Pinang perlu lihat pembangunan orang Melayu secara serius", katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan pergerakan pemuda Umno bahagian Jerlun di Ayer Hitam di Kedah semalam.

Menurut laporan Bernama, Khairy berharap kerajaan Pulau Pinang dapat mempertimbangkan perkara itu dalam perbincangan dengan pergerakan itu kelak.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon meminta Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang berjumpa dengannya bagi membincang masalah orang Melayu di negeri itu.

Isu penggiliran KM

Ini berikutan desakan berterusan Pemuda Umno negeri yang memperjuangkan isu penggiliran jawatan Ketua Menteri.

Khairy berkata, Pemuda Umno telahpun membuat kajian mengenai masa depan orang Melayu Pulau Pinang dan perkara yang sama boleh dijadikan asas perbincangan dengan ketua menteri itu.

Semasa merasmikan persidangan itu, Khairy mendedahkan terdapat golongan yang kecewa dalam Umno sedang berusaha untuk merosakkan parti itu.

Katanya, perbuatan itu memberi laluan mudah kepada pembangkang untuk menyerang balas Umno yang kini masih merupakan parti terunggul di negara ini.

"Saya ingin beri amaran kepada mereka yang berniat jahat. Hentikan niat itu," katanya.

Menurutnya, prinsip Pergerakan Pemuda jelas iaitu mempertahankan Umno.

Jika sesuatu berlaku kepada Umno, sudah pasti ia akan turut memberi kesan kepada negara, kata Khairy.