Pak Lah hargai sumbangan Dr M dan bekas PM terdahulu
Malaysia menjadi sebuah negara maju, makmur dan dinamik hasil idea yang disertai dengan kepimpinan yang baik serta usaha gigih negarawan-negarawan terdahulu, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Malaysia menjadi sebuah negara maju, makmur dan dinamik hasil idea yang disertai dengan kepimpinan yang baik serta usaha gigih negarawan-negarawan terdahulu, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Kejayaan dan kemajuan itu, kata Perdana Menteri, dicapai bermula daripada kepimpinan Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra, kemudiannya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussin sebelum diwariskan kepada Allahyarham Tun Hussein Onn dan kesinambungannya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Sesungguhnya tokoh-tokoh ini adalah wirawan negara dan kita semua amat terhutang budi kepada negarawan-negarawan yang telah banyak berjasa ini," katanya.
Perdana Menteri menegaskan demikian dalam ucapannya majlis pelancaran sambutan perayaan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat kebangsaan di Dataran Shah Bandar di Kuala Terengganu malam tadi.
Menurut laporan Bernama, teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan perayaan Bulan Kemerdekaan ke-49.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu.
Menurut Abdullah, banyak negara lain yang mencapai kemerdekaan seiring dengan Malaysia dan yang lebih dahulu daripadanya, masih belum mampu mencipta kemajuan dan kejayaan sebagaimana yang dikecapi rakyat negara ini.
Negara paling berjaya
Beliau berkata ada negara yang melaksanakan dasar-dasar yang hampir serupa dengan Malaysia bagi mencapai kemajuan dan kejayaan tetapi beliau berbangga kerana daripada aspek keberkesanan pelaksanaan dasar-dasar tersebut, Malaysia merupakan antara negara yang paling berjaya ke arah itu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri percaya idea bijak dan kepimpinan yang baik semata-mata tidak akan membawa hasil sebagaimana yang dikecapi hari ini jika ia tidak mendapat sokongan dan kerjasama segenap peringkat rakyat, termasuk kakitangan awam dan swasta.
"Secara peribadi, saya percaya rakyat Malaysia sendiri telah memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan Malaysia mencapai potensi dan kemampuannya yang sebenar sehingga Malaysia berada di tahap di mana ia berada hari ini," katanya.
Beliau juga berkata, sambutan ulang tahun kemerdekaan pada tahun ini amat istimewa kerana ia merupakan yang pertama setelah Misi Nasional diperkenalkannya pada akhir Mac lalu.
"Kejayaan yang telah kita perolehi memang banyak, namun masih terlalu jauh untuk kita boleh mendabik dada atau menggoyang kaki bersenang-lenang.
"Namun secara peribadi, saya mempunyai keyakinan yang amat tinggi terhadap rakyat Malaysia yang merupakan satu bangsa yang kuat dan kukuh keazaman dan semangatnya untuk berjuang dalam apa juga keadaan," katanya.

