Laporan BPR terhadap Samsu Baharun Abdul Rahman
Satu laporan dibuat kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Ahli Parlimen Silam yang juga Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Usahan dan Koperasi, Datuk Samsu Baharun Abdul Rahman.
Satu laporan dibuat kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Ahli Parlimen Silam yang juga Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Usahan dan Koperasi, Datuk Samsu Baharun Abdul Rahman.
Laporan tersebut dibuat oleh ahli jawatankuasa Umno Bahagian Silam kerana mendakwa berlaku amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam pengagihan bantuan terhadap mangsa banjir di sebuah kampung di Lahad Datu beberapa bulan lalu.
Ahli jawatankuasa berkenaan Rapaan Rabeka memberitahu malaysiakini, beliau membuat laporan kepada BPR itu Khamis lalu. Samsu adalah pemangku ketua bahagian Silam.
Samsu sebelum ini, selaku timbalan ketua bahagian berkenaan, pernah didapati bersalah terbabit dalam politik wang sewaktu pemilihan parti dan keahliannya digantung selama tiga tahun mengikut Fasal 6.2.2 perlembagaan Umno.
Samsu kemudiannya mengemukakan rayuan terhadap hukuman tersebut kepada Penal Rayuan Umno. Penal tersebut menerima rayuan Samsu dan mengenepikan hukman ke atasnya.
Turut didapati bersalah bagi kesalahan politik wang ialah Ketua Umno Bahagian Silam, Mohd Yusof Apdal, tetapi rayuannya ditolak.
Tandatangan palsu?
Sementara itu, seorang ahli Umno Silam, Abdul Mutalib Mohd Dawi, mendakwa dua pertiga daripada 2,050 tandatangan ahli Umno bahagian berkenaan, menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, adalah palsu.
"Hanya 650 ahli sahaja yang menandatanganinya," kata Abdul Mutalib kepada malaysiakini . Beliau merupakan salah seorang daripada ahli Umno yang terbabit dalam kempen mengutip tandatangan tersebut.
Kempen 'sokongan pada Pak Lah' pada awalnya mensasarkan 5,000 tandatangan dan ianya dibuat atas inisiatif Samsu. Apabila hanya beberapa ratus tandatangan sahaja yang diperolehi, beliau mendakwa, pihak penganjur telah memutuskan untuk mencuba cara lain.
"Tandatangan yang lainnya adalakah kerja 'tangan-tangan hantu' yang mengisi borang tersebut selama dua malam," dakwa Mutalib.
Katanya, majoriti ahli Umno di bahagian itu enggan menandatanganinya bukan kerana mereka tidak menyokong Abdullah, tetapi kerana tidak puashati dengan kepimpinan Samsu di bahagian tersebut.
Mutalib mendakwa, petisyen akhir itu turut mengandungi nama 100 orang yang sudah meninggal dunia dan 250 ahli yang sudah keluar parti dan menyertai Parti Keadilan Rakyat baru-baru ini.
Sokong Pak Lah
"Senarai tandatangan itu dibuat berdasarkan kepada senarai keahlian berkomputer bagi tahun 2004," tambahnya.
Menurutnya lagi, Samsu pada awalnya merancang untuk mengutip 5,000 tandatangan dan mengumpulkannya dalam tiga buku. Tetapi selepas tiga bulan, hanya 650 ahli Umno yang menandatanganinya.
"Hanya sebuah buku, yang mengandungi 2,050 tandatangan, yang diserahkan kepada Pak Lah sekembalinya dari Australia Julai lalu (foto)," kata Mutalib.
Katanya, beliau mengambil keputusan untuk memberitahu perkara sebenarnya kerana beliau tidak mahu Perdana Menteri d'dibohongi dan ditipu".
Bagaimanapun, katanya, ahli-ahli Umno di Silam menyokong penuh kepimpinan Abdullah selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri.

