Malaysia gagal lagi disenaraikan dalam Ranking Shanghai Jiao Tong bagi 500 Universiti Terbaik Dunia untuk kali keempat berturut-turut.

Ketua Pembangkang Lim Kit Siang melahirkan kekecewaannya kerana tidak sebuahpun universiti di Malaysia disenaraikan dalam ranking tersebut. Universiti Havard dan Cambridge menduduki dua tempat teratas bagi tahun ini.

Sebanyak 92 universiti dari rantau Asia-Pasifik yang tersenarai dalam ranking itu ialah Jepun (32 universiti), Australia (16), China (9), South Korea (9), Israel (7), New Zealand (5), Taiwan (5), Hong Kong (5), India (2) dan Singapura (2).

Sepuluh universiti terunggul dari Asia-Pasifik ialah Universiti Tokyo (19), Universiti Kyoto (22), Universiti Nasional Australian (54), Universiti Hebrew Jerusalem (60), Universiti Osaka (61), Universiti Tohoku (76), Universiti Melbourne (78), Institut Teknologi Tokyo (89), Univesiti Nagoya (98) dan Universiti Hokkaido (102).

Institut Pengajian Tinggi Universiti Shanghai Jiao Tong yang menjalankan kajian tersebut, memilih ranking universiti terpilih berdasarkan beberapa kriteria.

Antaranya ia merangkumi alumni dan kakitangan memenangi Hadiah Nobel dan Fields Medals, kejayaan para penyelidiknya, artikel yang diterbitkan mengenai sains dan alam serta prestasi akademik insitusi berkenaan.

"Ia perlu dianggap sebagai sesuatu yang memalukan negara kerana tidak sebuahpun daripada 18 universiti di Malaysia boleh dianggap hampir setaraf dengan unversiti lain di rantau Asia Pasifik," kata Lim dalam satu kenyataan semalam.

Sistem meritokrasi

Menurutnya, pelajar terbaik di negara ini pada tahun 50-an dan 60-an memilih untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dan bukannya universiti di Australia, kerana hanya Universiti Sydney dan Universiti Melbourne yang setaraf dengan UM ketika itu.

Katanya, mutu dan standard universiti di Malaysia terus merosot manakala 16 universiti di Australia telah mencapai tahap pengiktirafan antarabangsa, dengan tersenarai dalam ranking tersebut.

Lim berkata, selagi sistem meritokrasi dan kecemerlangan akademik tidak dipulihkan, maka universiti-universiti tempatan tidak akan mampu bersaing dengan yang terbaik di dunia.

"Kita boleh melupakan aspirasi kita ke arah Wawasan 2020 untuk menjadi negara kelas dunia," katanya.

Beliau juga bertanya kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamad apakah langkah lebih tegas akan diambil untuk memulihkan meritokrasi, kualiti dan kecemerlangan universiti dengan memperkenalkan peperiksaan yang sama bagi kemasukan ke universiti. Berita asal