Abim kecam pihak ugut individu terbabit dalam kes Lina Joy
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini mengecam pihak yang tidak bertanggungjawab menghantar SMS dan emel yang mengugut individu tertentu yang terlibat dengan kes wanita Islam yang murtad, Lina Joy atau nama asalnya Azlina Jailani.
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini mengecam pihak yang tidak bertanggungjawab menghantar SMS dan emel yang mengugut individu tertentu yang terlibat dengan kes wanita Islam yang murtad, Lina Joy atau nama asalnya Azlina Jailani.
Presiden Abim, Yusri Mohamad berkata, ugutan tersebut turut dihantar kepada Kumpulan Artikel 11 dan peguam Malik Imtiaz Sarwar.
Katanya, Abim menentang mana-mana pendekatan dan kaedah yang bertentangan dengan hukum Syarak dan undang-undang negara dalam menangani sebarang isu.
"Oleh itu kami mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan segera bagi mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab melakukannya," katanya dalam sidang media selepas merasmikan muktamar Abim di Cheras dekat ibu negara hari ini.
Muktamar selama dua hari itu dihadiri oleh kira-kira 600 ahli Abim dari seluruh negara. Beberapa kertas kerja turut dibentangkan termasuk peserta luar negara.
Sehubungan itu Yusri menasihatkan Malik supaya membuat laporan polis untuk membolehkan pihak berkuasa menyiasat kejadian tersebut.
Tidak benar kekerasan
"Walaupun Abim mempunyai pandangan berbeza dengan Malik, tetapi kami tidak akan sesekali membenarkan penggunaan kekerasan terhadap beliau atau orang lain.
"Ini berdasarkan prinsip bahawa perbezaan pandangan dalam Islam perlu diselesaikan menurut tuntutan moral dan etika Islam dan bukannya melalui kekerasan," tegasnya.
Katanya, fenomena ini harus dipandang serius kerana jika tidak dibendung segera ia boleh menimbulkan ketegangan kaum di negara ini.
"Tidak mustahil ada pihak tertentu yang sengaja ingin memberi imej buruk kepada usaha murni yang digerakkan oleh Abim dalam menangani isu-isu berkaitan Islam di negara ini," katanya lagi.
Yusri berkata, Abim mengulangi pendirian bahawa isu-isu berkaitan agama tidak sesuai dibincangkan secara terbuka kerana boleh menimbulkan syak wasangka kaum lain.
Tunggu penghakiman
Katanya, ia perlu dibincangkan dalam forum yang sesuai bagi mengelak konfrontasi kerana ia membuka ruang kepada tindakan-tindakan liar dan di luar kawalan.
Beliau berkata, penggunaan kekerasan, cacian, bahasa kesat dan ugutan bunuh tidak ada tempat dalam masyarakat yang bertamadun," katanya lagi.
Pada 18 April 2001, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Lina untuk menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya dengan alasan sebagai seorang Melayu, dia tidak boleh meninggalkan agama Islam.
Lina kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan yang mengambil keputusan mengekalkan keputusan mahkamah tinggi sebelumnya.
Kes itu kemudiannya dibawa ke Mahkamah Persekutuan dan kini sedang menunggu penghakiman.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.