Orang Melayu akan hilang kuasa politik sekiranya berlaku perpecahan struktur dalam Umno dan sejarah telah membuktikan kesan buruk daripada perpecahan tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Oleh itu, katanya, umno perlu mengelakkan perpecahan struktur bagi memastikan ia kekal sebagai sebuah parti yang mantap dan terus menunjangi pentadbiran negara.

Najib berkata amat berbahaya jika kepimpinan tertinggi dalam parti itu tidak sehaluan kerana ia akan menyebabkan perpecahan struktur.

"Kalau di atas (pemimpin) buat angkara, akan pecah struktur", katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Alor Star hari ini,

Menurut laporan Bernama, oleh itu, Timbalan Presiden Umno itu berharap kepimpinan di pelbagai peringkat parti itu akan sentiasa berusaha mengukuhkan parti.

Perpecahan struktur

Menurutnya, sejarah telah membuktikan bahawa perpecahan struktur dalam parti Umno pada 1987 (Umno diheret ke mahkamah dan diharamkan) dan 1999 (isu pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah menyebabkan parti itu kehilangan banyak kerusi dalam pilihanraya umum.

"Selagi kita tak pelajari sejarah, kita boleh ulangi kesilapan itu. Kita tak mahu sejarah hitam berulang dalam parti", katanya.

Najib berkata, beliau tidak terlalu bimbangkan kewujudan "jemuan" atau ahli-ahli parti yang sering menimbulkan masalah di peringkat bawahan, tetapi kebimbangannya ialah jika wujud jemuan di peringkat tertinggi.

Sebelum itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jemuan dalam Umno jika dibiarkan akan menjejaskan kekuatan parti itu.

Mahdzir yang juga Menteri Besar Kedah turut merayu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mencari jalan terbaik untuk melakukan kritikan terhadap pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, rayuan itu dibuat supaya teguran negarawan itu tidak diambil kesempatan oleh parti pembangkang untuk menyerang balas kerajaan dan Umno.