Penganjur majlis ceramah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pantai Dalam malam esok. gagal mendapat permit polis untuk mengadakan majlis tersebut.

Ketua Polis Brickfields, ACP Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata. permohonan omendapatkan permit itu ditolak kerana pihak penganjurnya gagal mendapatkan kebenaran pemilik tempat letak di blok Apartment, tempat majlis tersebut hendak diadakan.

"Pihak polis menolak permohonan itu kerana penganjurkan masih belum mendapat kebenaran pihak pengurusan NPE Property untuk menggunakan tempat tersebut," katanya dalam surat bertarikh 17 Ogos kepada penganjur majlis tersebut, Mohd Zaman Md Tasi

NPE Property Development pemilik blok apartment tersebut telah memberitahu pihak penganjur dalam surat yang berasingan bahawa ia tidak boleh membenarkan parti pembangkang, Parti Keadilan Rakyat menggunakan kawasan letak kereta di Perumahan Pantai Permai di Kampung Kerinchi untuk mengadakan majlis tersebut.

Syarikat itu berkata, ia akan 'mendatangkan kesukaran kepada penduduk perumahan itu untuk meletakkan kenderaan mereka serta kebanjiran orang rama dari luar masuk ke kawasan perumahan itu'.

"Sebagai pemaju yang bertanggungjawab atas kemudahan dan keselamatan kawasan Perumahan Pantai Permai, dukacita dimaklumkan bahawa kami tidak dapat memberi kelulusan terhadap pemohonan tuan," kata Pengarah NEP properties, Neoh Soon Hiong dalam surat bertarikh 18 Ogos.

Mohd Zaman, bagaimanapun, berkata majlis tersebut akan diteruskan walaupun tanpa permit polis kerana ia diadakan di kawasan lapang dengan lebih 200 sukarelawan bertugas bagi memastikan keselamatan dan kelicinan lalulintas di situ.

Bukan kali pertama

Beliau menasihatkan orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam untuk pergi ke majlis tersebut dan mereka juga dinasihatkan datang lebih awal.

Mohd Zaman berkata, stesen LRT terdekat dengan tempat tersebut ialah stesen LRT Putra Universiti Malaysia.

Menurutnya, ini bukan kali pertama, pemilik tempat seperti itu menghadapi tekanan politik supaya majlis seumpama itu tidak dapat diadakan.

"Lembah Pantai merupakan kubu kuat tradisi pembangkang dan majlis anjuran pihak pembangkang di sini sering menghadapi banyak halangan," katanya.

Dalam ucapannya di majlis tersebut, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyentuh mengenai pertelingkahan antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pengganti pilihannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Majlis yang dijangka berlangsung selama tiga jam itu akan bermula jam 9 malam dan pihak penganjur menjangka ia dihadiri seramai 5,000 orang. Bahan asal