Kematian model: Polis diberi tempoh hingga 31 Jan fail pernyataan pembelaan
Mahkamah menetapkan sehingga 31 Jan tahun depan untuk pihak polis dan kerajaan Malaysia mengemukakan pernyataan pembelaan berhubung saman yang dikemukakan oleh keluarga Ivana Smit.
Ini susulan saman yang difailkan keluarga berkenaan terhadap polis Malaysia atas dakwaan cuai dalam siasatan kematian model Belanda itu tiga tahun lalu.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan arahan itu semasa pengurusan kes e-semakan (dalam talian) hari ini.
Mahkamah membenarkan permohonan defendan untuk melanjutkan tempoh bagi mengemukakan Pernyataan Pembelaan.
Peguam keluarga, Sankara Nair hari ini mengesahkan perkara itu selepas pengurusan kes di hadapan pendaftar kanan mahkamah Maslinda Selamat.
"Defendan telah meminta lanjutan waktu untuk memfailkan Pernyataan pembelaan mereka pada atau sebelum 31 Januari 2021, dan hal yang sama dibenarkan oleh mahkamah.
"Pengurusan kes berikutnya telah ditetapkan pada 4 Mac 2021," kata peguam itu kepada Malaysiakini.
Pada 25 November, keluarga Smit dilaporkan memfailkan tuntutan di mahkamah terhadap polis Malaysia atas tuduhan kecuaian dalam siasatan kematiannya pada tahun 2017.
Menurut kertas kausa, plaintif merupakan Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, yang merupakan ibu si mati.
Tindakan undang-undang itu menamakan Ketua Polis Negara, pegawai penyiasat utama, Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Mayat bogel Smit ditemui mati di tingkat enam kondominum CapSquare Residence di Kuala Lumpur, - 14 tingkat di bawah unit kondominium Johnson dan Almaz di tingkat 20, pada 7 Disember 2017. Dia berusia 18 tahun.
Pada bulan Disember tahun yang sama, polis telah mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut.
Bagaimanapun, pada 8 Mac tahun lalu, mahkamah koroner Kuala Lumpur memutuskan kematiannya disebabkan kemalangan.
Namun pada bulan November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan keputusan mahkamah koroner, dengan memutuskan bahawa tiada bukti mencukupi menunjukkan kematian model Belanda itu dibunuh tetapi tidak menolak kemungkinan kematian disebabkan oleh 'individu yang dikenali atau tidak dikenali'.
Susulan keputusan Mahkamah Tinggi, polis mengumumkan bahawa pasukan baru akan dibentuk untuk membuka semula siasatan terhadap kes tersebut.
Menurut salinan penyata tuntutan saman itu, keluarga tersebut menuntut ganti rugi umum, jelek, dan teladan kerana kecuaian dan kelalaian berat.
Dalam tuntutan itu, keluarga berkenaan meminta kerajaan ataupun pihak berkuasa untuk mengeluarkan waran tangkap dan mengekstradisi Alexander William Johnson dan Lunara Almazkyzy ke Malaysia bagi siaaatan lanjut dan kemungkinan pendakwaan.

